[VIDEO] Bekas pelumba kereta terkenal NASCAR antara 7 maut, nahas jet peribadi terhempas sebelum hari jadi


  • Benua
  • Jumaat, 19 Dis 2025

Termasuk Biffle (kanan), pihak lapangan terbang mengesahkan tujuh individu berada di dalam pesawat ketika kejadian.

 

 

BEKAS pelumba terkenal NASCAR, Greg Biffle disahkan terkorban bersama ahli keluarganya selepas sebuah jet peribadi terhempas dan terbakar di barat North Carolina, Amerika Syarikat pada Khamis.

Menurut pihak berkuasa tempatan dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat jenis Cessna C550 itu terhempas kira-kira pukul 10.15 pagi (11.15 malam waktu Malaysia) ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Wilayah Statesville kira-kira 40 batu dari Charlotte.

Termasuk Biffle, pihak lapangan terbang mengesahkan tujuh individu berada di dalam pesawat ketika kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya sayang ibu', pelajar cerita detik cemas larikan diri dari insiden tembakan di Brown University

BACA LAGI: [VIDEO] Syif terakhir, pekerja kilang di China maut tak sempat selamatkan diri dihempap besi

Peronda Lebuh Raya North Carolina memaklumkan bahawa Biffle dan ahli keluarganya dipercayai antara mangsa yang terkorban, namun proses pengesahan rasmi mengambil masa susulan kebakaran teruk selepas nahas.

Pengurus Bandar Statesville, Ron Smith berkata, insiden berkenaan masih dalam siasatan aktif dan melibatkan kerjasama pelbagai agensi.

Data daripada FlightAware menunjukkan pesawat tersebut pada asalnya dijadualkan terbang ke Florida, namun cuba berpatah balik ke lapangan terbang berlepas sejurus selepas berlepas akibat cuaca buruk.

Difahamkan, pesawat berkenaan dilaporkan didaftarkan kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan Biffle.

Ahli keluarga mangsa mengenal pasti mereka yang terkorban sebagai Greg Biffle, isterinya Cristina Biffle, anak lelaki mereka Ryder berusia lima tahun serta anak perempuan Biffle, Emma, 14 tahun.

Turut terkorban ialah Dennis Dutton, anaknya Jack, dan Craig Wadsworth.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X, ahli keluarga mangsa menyatakan tragedi itu telah meninggalkan kesan duka mendalam kepada semua keluarga terlibat.

FAA bersama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) kini menjalankan siasatan terperinci dengan NTSB dijangka berada di lokasi kejadian pada Jumaat, 19 Disember.

Biffle yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-56 minggu hadapan, merupakan calon kemasukan ke 'Hall of Fame' NASCAR.

Dilahirkan pada 23 Disember 1969 di Vancouver, Washington, dia memulakan kerjaya perlumbaan di litar-litar kecil Pacific Northwest sebelum mencipta nama di peringkat tertinggi NASCAR.

Sepanjang kerjaya profesionalnya dalam NASCAR Cup Series dari 2003 hingga 2016, Biffle meraih 19 kemenangan, 92 penamat lima teratas dan 175 penamat 10 teratas, termasuk kemenangan sulung di Daytona International Speedway pada 2003.

Pada 2023, dia disenaraikan sebagai antara 75 pelumba terhebat NASCAR, manakala pada 2024 menerima Anugerah Myers Brothers atas sumbangannya kepada sukan permotoran. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram