[VIDEO] Akibat kemarau ekstrem, misteri kemunculan 700 lubang benam gergasi


  • Benua
  • Sabtu, 13 Dis 2025

Lubang Benam Inoba sedalam kira-kira 40 meter yang berpunca daripada kemarau di Konya pada 10 September 2025. — Agensi

FENOMENA lubang benam berskala besar semakin membimbangkan di Konya, Turkiye apabila ratusan kejadian dikenal pasti di kawasan yang kini berdepan kemarau ekstrem.

Penilaian terkini oleh Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD) mendedahkan sebanyak 684 lubang benam telah direkodkan di Konya, kawasan utama pengeluaran gandum yang sering digelar sebagai 'bakul roti' negara itu.

Rakaman dron terbaharu menunjukkan lubang-lubang besar itu terus muncul dan memecahkan permukaan tanah pertanian yang kering kontang, sekali gus mengancam keselamatan dan kelangsungan sektor pertanian negara itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Buat kerja tak 'clean', 3 polis India digantung tugas akibat buang mayat sebab mahu 'mengelat'

BACA LAGI: [VIDEO] Konflik sempadan Thailand-Kemboja: Hampir 1,000 sekolah ditutup

Pakar geologi menegaskan perubahan iklim, kemarau berpanjangan serta pengambilan air bawah tanah secara berlebihan dikenal pasti sebagai faktor utama berlakunya fenomena tersebut.

Aktiviti pengairan intensif bagi tanaman bit gula dan jagung dilaporkan mempercepatkan penyusutan air bawah tanah di Lembangan Konya.

Kajian geologi Turki menunjukkan paras air bawah tanah di beberapa kawasan Konya telah merosot sehingga puluhan meter sepanjang beberapa dekad lalu, sekali gus meningkatkan risiko runtuhan tanah.

Universiti Teknikal Konya memaklumkan lebih 20 lubang benam besar baharu muncul sepanjang tahun lalu di Karapınar dengan sebahagiannya berkelebaran melebihi 100 kaki dan berkedalaman ratusan kaki.

Sebelum awal tahun 2000-an, wilayah Konya hanya mencatat beberapa kejadian lubang benam dalam tempoh sedekad, namun situasi kini berubah drastik apabila puluhan kejadian berlaku setiap tahun.

Pusat Penyelidikan Lubang Benam universiti berkenaan turut mendedahkan kira-kira 1,850 kawasan dikenal pasti mengalami mendapan tanah menjelang akhir 2021.

Sementara itu, Pemerhatian Bumi NASA melaporkan Turki sedang mengalami kemarau teruk, dengan paras takungan air negara itu mencatat tahap terendah dalam tempoh 15 tahun pada 2021.

Laporan Turkey Today menyatakan fenomena lubang benam di Karapınar semakin mengancam tanah pertanian, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan petani.

Ada antara mereka kehilangan kawasan tanaman akibat runtuhan tanah, manakala sebahagian terpaksa meninggalkan ladang yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Bagi mengekang keadaan daripada terus memburuk, pihak berkuasa Turki telah mempertingkatkan pemantauan di Lembangan Konya serta melaksanakan program bagi membanteras aktiviti penggerudian telaga haram yang menyumbang kepada penyusutan air bawah tanah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram