[VIDEO] Persis telenovela, balu Charlie Kirk 'kantoi' guna air mata palsu sebelum majlis peringatan kematian suami


  • Benua
  • Jumaat, 07 Nov 2025

Erika didakwa menitiskan cecair khas untuk menimbulkan air mata sebelum memberikan ucapan penghormatan kepada suaminya yang dibunuh pada 10 September lepas. — Agensi

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) organisasi konservatif berpengaruh, Turning Point USA (TPUSA), Erika Kirk mencuri tumpuan selepas tular video menunjukkan dia berpura-pura bersedih sebelum menyampaikan ucapan di majlis memperingati mendiang suaminya, Charlie Kirk.

Rakaman tersebut yang kini tular di pelbagai platform media sosial memaparkan Erika didakwa menitiskan cecair khas untuk mengeluarkan air mata beberapa saat sebelum menaiki pentas sebelum memberikan ucapan penghormatan kepada suaminya yang mati dibunuh baru-baru ini.

Video tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam media sosial dengan ramai warganet menuduh Erika sengaja melakukan lakonan emosional sebelum majlis berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya tak akan minta maaf sebab beragama Islam', Datuk Bandar baharu New York sedia cabar Presiden Donald Trump

BACA LAGI: [VIDEO] 'Anak demam tak boleh tidur', bapa kesal individu main telefon kuat-kuat dalam wad walau dah ditegur

Dakwaan tersebut semakin diperbesarkan memandangkan dia baru sahaja mengambil alih kepimpinan TPUSA, organisasi yang sebelum ini diterajui oleh suaminya yang merupakan figura penting dalam gerakan konservatif Amerika Syarikat.

Sebagai bekas Miss Arizona, Erika kini meneruskan legasi suaminya dengan kerap membuat penampilan di pelbagai acara TPUSA di kampus universiti seluruh negara.

Namun, langkahnya kini berada di bawah pemerhatian ketat umum, dengan setiap tindak-tanduk menjadi bahan perbincangan.

Kontroversi itu semakin hangat apabila pelawak legenda dan pemenang Anugerah Emmy, John Cleese turut memberi ulasan sinis selepas memuat naik semula video tersebut di laman media sosial miliknya.

"Seperti kata George Burns, ‘Keikhlasan adalah kunci. Jika kamu boleh berpura-pura ikhlas, tiada had bagi apa yang kamu boleh capai'," katanya memetik kata-kata legenda hiburan, George Burns.

Kontroversi tersebut timbul ketika Erika masih menyesuaikan diri dengan peranan baharunya sebagai pemimpin TPUSA di tengah-tengah perhatian umum susulan pembunuhan suaminya yang mendapat liputan meluas.

Dalam temu bual pertamanya bersama Fox News baru-baru ini, Erika berkongsi detik emosional ketika membuat keputusan untuk melihat sendiri jasad mendiang suaminya di rumah mayat.

"Saya beritahu pegawai bertugas bahawa saya mahu melihat apa yang mereka lakukan terhadap suami saya… dan memberikan dia satu ciuman," katanya.

Erika turut menjelaskan bahawa dia tidak menonton dan tidak akan menonton rakaman video pembunuhan suaminya kerana tidak sanggup menanggung kesan emosinya.

"Ada perkara dalam hidup yang apabila kamu melihatnya, kamu tidak akan dapat melupakannya.

"Ada juga yang meninggalkan parut kekal dalam jiwa. Saya tidak mahu pembunuhan suami saya menjadi salah satu daripadanya dan saya tidak mahu anak-anak saya melihatnya," ujarnya.

Charlie maut ditembak semasa berucap di hadapan khalayak di kampus Universiti Utah Valley di Orem, Utah pada 10 September lalu.

Suspek kes itu, Tyler Robinson, berjaya ditahan beberapa hari kemudian dan didakwa secara rasmi atas kesalahan membunuh.

Motif pembunuhan dipercayai berkait dengan ideologi politik, memandangkan Robinson dikatakan semakin cenderung kepada pandangan pro-LGBTQ dan anti-konservatif. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram