[VIDEO] Pesawat terhuyung-hayang sebelum terhempas di Venezuela, dua kru maut baru saja terbang bersama buat kali ke-2


  • Benua
  • Khamis, 23 Okt 2025

Rakaman video menunjukkan pesawat itu mula bergerak di landasan sebelum menghentam ke tanah. — Agensi

 

 

DUA individu dilaporkan maut selepas sebuah pesawat ringan jenis PAY1 terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Paramillo di Tachira, San Cristobal, Venezuela pada Rabu.

Mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai juruterbang, Jose Bortone dan Juan Maldonado yang bertugas sebagai pembantu juruterbang dalam penerbangan berkenaan.

Kedua-dua mereka dilaporkan maut di tempat kejadian selepas pesawat yang dikendalikan mereka terbakar dan musnah sepenuhnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Pesawat kargo terbabas sebelum terjunam ke laut, 2 pekerja 'airport' dilaporkan maut

BACA LAGI: [VIDEO] Pempengaruh warga emas China maut, pesawat ringan kemalangan masa buat 'live'

Menurut Institut Penerbangan Awam Kebangsaan (INAC), insiden berlaku sekitar pukul 9.52 pagi waktu tempatan (9.52 malam waktu Malaysia) ketika pesawat dengan nombor pendaftaran YV1443 sedang berlepas dari lapangan terbang berkenaan.

"Protokol kecemasan segera diaktifkan dan pasukan Bomba Aeronautik digerakkan untuk mengawal situasi," kata INAC dalam satu kenyataan di Instagram.

Rakaman video yang tular menunjukkan pesawat itu mula bergerak di landasan dan sempat terangkat ke udara sebelum berpusing lalu menghentam tanah.

Letupan kuat kemudian berlaku dan pesawat dilaporkan terbakar sepenuhnya dalam beberapa saat.

Siasatan awal mendapati letupan tayar dipercayai menjadi punca pesawat itu hilang kawalan sebelum terhempas.

Namun begitu, INAC memaklumkan Lembaga Penyiasatan Kemalangan Penerbangan Awam telah diaktifkan untuk menyiasat punca sebenar kejadian mengikut prosedur undang-undang Venezuela.

Media tempatan NTN24 melaporkan bahawa sehari sebelum insiden, kedua-dua mangsa sempat melakukan penerbangan rutin tanpa sebarang masalah, membawa Presiden Bank Sofitasa dari Apure ke San Cristobal.

Insiden tragis itu turut menyentuh hati rakan-rakan dan kenalan rapat mangsa yang dilaporkan tidak dapat menahan sebak ketika sidang media mengenang pemergian juruterbang dan pembantu juruterbang berkenaan.

Pihak berkuasa kini masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti faktor sebenar yang membawa kepada kemalangan udara itu. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram