[VIDEO] Kasihnya seorang ibu, sanggup pertaruh nyawa redah arus deras demi elak anak kelaparan


  • Benua
  • Selasa, 16 Sep 2025

Marsita (kiri) beberapa kali hampir dihanyutkan arus deras ketika berenang ke rumah demi memberi susu kepada anaknya itu.

SEBUAH video tular memperlihatkan detik cemas seorang ibu muda, Marsita yang sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan meredah arus deras Sungai Mapi semata-mata kerana bimbangkan anak kecilnya yang ditinggalkan di rumah.

Insiden berlaku di Desa Piriang Tapiko, Kecamatan Tubbi Taramanu (Tutar), Kabupaten Polewali Mandar, Sulawesi Barat, Indonesia selepas hujan lebat menyebabkan sungai utama itu melimpah dan menenggelamkan laluan penduduk.

Difahamkan, ibu muda berusia 20 tahun itu pada awalnya keluar membeli makanan di seberang sungai, tetapi ketika berada di lokasi jualan, paras air naik mendadak hingga memutuskan laluan.

BACA LAGI: Perjalanan pengantin tertangguh, 19 wanita, kanak-kanak maut bas terjunam dalam sungai di Nigeria

BACA LAGI: [VIDEO] Rasuah, sekat media sosial cetus amarah Gen Z gulingkan kerajaan, isteri bekas PM Nepal antara korban

"Dia tunggu hampir sejam untuk air surut, tapi parasnya makin naik. Akhirnya dia nekad terjun ke sungai,” kata salah seorang penduduk yang dikenali sebagai Minarti kepada media.

Penduduk yang menyaksikan aksi berbahaya berkenaan menjerit panik apabila Marsita beberapa kali hampir dihanyutkan arus deras. 

Mujur, selepas bergelut dengan derasnya arus, Marsita berjaya sampai ke tebing sebelum berlari pulang demi mendapatkan anaknya.

Menurut Minarti, penduduk di kawasan tersebut biasanya menggunakan rakit buluh untuk menyeberang, namun ketika banjir berlaku, rakit sepanjang 100 meter itu tidak dapat digunakan.

"Kalau air naik begini, memang mustahil menyeberang dengan rakit," katanya.

Dalam temu bual bersama Detik.com, Marsita mengakui tindakannya itu semata-mata kerana bimbang anaknya menangis mahu susu.

"Ingat lagi semalam, saya pergi beli jajan dengan kawan untuk anak saya di seberang sungai. Kami nekad menyeberang sebab itu satu-satunya cara. Tapi masa kami di tempat jualan, tiba-tiba air sungai naik. Kami berteduh tunggu air surut.

"Tak lama lepas itu saya teringat anak saya—dia masih kecil. Saya risau dia menangis mahu susu, sedangkan ayahnya pula tak pandai jaga. Masa itu saya nekad, saya berenang demi anak saya.

"Saya rela apa saja demi dia. Anak saya masih kecil… untuk dia, saya sanggup berkorban menyeberangi sungai yang deras itu," katanya menerusi video temu bual itu. 

Sungai Mapi sejak puluhan tahun menjadi laluan utama penduduk Tutar untuk ke pasar, sekolah dan pusat kesihatan. 

Namun, ketiadaan jambatan kekal menjadikan sungai itu simbol keterasingan kawasan berkenaan, malah kerap mengundang tragedi setiap kali hujan lebat melanda.

Kejadian Marsita kini menjadi bukti nyata pengorbanan seorang ibu, sekaligus menyerlahkan kepayahan penduduk Tutar yang masih bergantung pada rakit buluh di tengah ancaman bencana. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram