[VIDEO] Rasuah, sekat media sosial cetus amarah Gen Z gulingkan kerajaan, isteri bekas PM Nepal antara korban


  • Benua
  • Rabu, 10 Sep 2025

Rajyalaxmi Chitrakar meninggal dunia selepas melecur kritikal apabila rumah mereka di Kathmandu dibakar semasa protes ganas. — Agensi

KURANG 24 jam selepas tembakan polis meragut 19 nyawa di luar bangunan parlimen, Perdana Menteri Nepal, Khadga Prasad Sharma Oli akhirnya meletak jawatan pada Selasa, sekali gus menandakan kemuncak rusuhan terbesar negara itu dalam tempoh beberapa tahun.

Gelombang protes dipimpin anak muda generasi Z atau Gen Z yang membantah gejala rasuah serta sekatan terhadap media sosial semakin menggila apabila ribuan penunjuk perasaan menyerbu kompleks kawasan Singha Durbar dengan memecahkan tingkap dan membakar beberapa ruang dewan.

"Bangunan ini (kawasan Singha Durbar yang menempatkan Pejabat PM dan kementerian lain serta kompleks Parlimen) tidak pernah berkhidmat untuk kami. Membakarnya bermakna kami boleh membina sesuatu yang baharu," kata seorang pelajar, Mira Thapa, 20.

BACA LAGI: [VIDEO] Bangkit seperti Indonesia, ribuan pemuda Nepal lancar demonstrasi bakar Parlimen

BACA LAGI: [VIDEO] Kemarahan rakyat Nepal tak terkawal, Menteri Kewangan 'dihambat' sampai ke sungai

Amukan orang ramai merebak ke kediaman pemimpin kanan dengan menyaksikan Menteri Luar, Arzu Rana Deuba yang juga isteri bekas perdana menteri Sher Bahadur Deuba pula ditarik keluar dari rumah dan dipukul.

Timbalan Perdana Menteri, Bishnu Prasad Paudel turut dibelasah di jalanan, manakala isteri bekas perdana menteri, Jhalanath Khanal iaitu Rajyalaxmi Chitrakar pula terkorban selepas kediamannya dibakar.

Hospital Perkhidmatan Awam di Kathmandu mengesahkan angka korban meningkat kepada 22 orang dengan lebih 300 cedera.

Tentera Nepal kemudian mengambil alih kawalan keselamatan bermula pukul 10 malam dengan alasan rusuhan semakin melampau termasuk rompakan dan kebakaran harta awam.

Kekacauan itu tercetus tiga hari selepas kerajaan tiba-tiba menarik balik larangan ke atas 26 platform media sosial, langkah kontroversi di bawah pentadbiran Oli yang mencetuskan kemarahan anak muda.

Menteri Dalam Negeri, Ramesh Lekhak meletak jawatan atas dasar moral selepas mengakui keputusan tersebut mengorbankan banyak nyawa.

Tidak terhenti di situ, kemarahan rakyat menyasar simbol kemewahan dan kekuasaan apabila Hotel Hilton di Kathmandu serta ibu pejabat parti politik dibakar, selain bangunan Mahkamah Agung turut menjadi mangsa vandalisme.

Lebih membimbangkan, penjara-penjara utama di Mahottari dan Lalitpur dipecahkan, lebih 500 banduan dibebaskan termasuk tokoh pembangkang Rabi Lamichhane.

Polis mengakui mereka hilang kawalan, sekali gus meningkatkan ketakutan terhadap jenayah dan ketidakstabilan yang lebih parah.

Helikopter digunakan bagi memindahkan beberapa menteri dari kediaman rasmi di Bhaisepati ketika asap tebal menyelubungi kawasan kerajaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram