
SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun maut dalam kejadian tragis apabila ditetak dengan parang oleh seorang remaja lelaki di Kampung Wundubite, Mukim Poli-Polia, Daerah Kolaka Timur, Sulawesi Tenggara, Indonesia pada pagi Jumaat.
Mangsa, Mutmainah Azahra ketika itu dilaporkan sedang menunggang basikal elektrik bersama adiknya, Wahyu,7, dalam perjalanan ke kelas pengajian al-Quran sekitar pukul 6.30 pagi.
Menurut laporan, dalam perjalanan tersebut, mereka dihalang oleh pelaku yang kemudian menarik mangsa ke sebuah kawasan taman.
Difahamkan, adik mangsa berjaya melarikan diri dan mendapatkan bantuan di tempat pengajian.
Tidak lama kemudian, seorang penduduk, Laupe, 52, yang dalam perjalanan ke kebun, menemui mangsa terbaring berlumuran darah di tepi jalan.
Beliau bersama beberapa penduduk lain termasuk Muhd. Yunus, 51, dan isterinya, Kamariah, 45, segera membawa mangsa ke Hospital Wilayah Kolaka Timur, namun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Kejadian tragis itu meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada keluarga mangsa, yang masih sukar menerima kehilangan anak tersayang.
Bapa mangsa dilaporkan mengamuk sebaik tiba di lokasi dan meminta penjelasan mengenai pembunuh anaknya.
Siasatan awal mendapati pelaku yang juga berusia 18 tahun bertindak membunuh mangsa kerana berdendam.
Dia mengaku sering diejek oleh mangsa setiap kali berjumpa, termasuk sindiran seperti awak pendatang baru, jangan berlagak seperti orang bodoh sambil menunjukkan isyarat ibu jari.
Dendam yang terpendam itu dipercayai mendorong suspek menetak mangsa menggunakan parang.
Polis yang menerima laporan kejadian segera menahan pelaku bersama barang bukti seperti parang dan pakaian mangsa.
Menurut kenyataan polis, kedua-dua mangsa dan pelaku masih di bawah umur dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan prosiding undang-undang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram