[VIDEO] Ahli Parlimen Indonesia tak peduli rakyat demo di jalanan, asyik 'dugem' di kelab malam


  • Benua
  • Selasa, 02 Sep 2025

Tangkap layar Ajie sakan menari bersama isterinya hingga menimbulkan amarah rakyat di Indonesia.

KETIKA rakyat berhempas-pulas memperjuangkan keadilan di jalanan, anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPRD) Wilayah Sumatera Utara dari Parti Gerindra iaitu Ajie Karim 'ditangkap' sibuk berhibur di kelab malam.

Video berkenaan tular di media sosial, menyaksikan ahli politik berkenaan sakan menari bersama seorang wanita yang difahamkan isterinya hingga menimbulkan amarah rakyat di Indonesia.

Perbuatan itu dianggap satu hal yang memalukan lagi-lagi ia dilakukan ketika rakyat Indonesia sedang memperjuangkan ketidakadilan dengan melakukan banyak demonstrasi di jalanan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kami selalu ejek, kalian anggap saudara', Malaysia hulur solidariti, rakyat Indonesia terharu dibelikan makanan dari jauh

BACA LAGI: [VIDEO] Kemenangan buat rakyat Indonesia, Prabowo setuju hapus elaun DPR

Gelombang protes anti-kerajaan sejak 25 Ogos lepas menyaksikan ramai rakyat Indonesia turun ke jalan di Jakarta dan bandar-bandar utama dengan harapan suara akan didengari pemerintah, namun tunjuk perasaan itu dicemari tindakan kekerasan melampau pihak berkuasa.

Keadaan bertambah parah apabila penghantar makanan (ojek), Affan Kurniawan terbunuh apabila dirempuh kenderaan pihak berkuasa ketika demonstrasi berlangsung, selain ratusan peserta protes cedera dan diberkas.

Walaupun kerajaan sudah mengumumkan menarik semula keistimewaan DPRD, tindak-tanduk setiap ahli parlimen Indonesia akan terus diperhatikan bagi memastikan tiada seorang wakil rakyat pun mengambil kesempatan atas pelantikan mereka.

Menjawab perkara itu, Ajie tidak menafikan dirinya adalah individu dalam video terbabit, namun menegaskan rakaman tersebut bukanlah kejadian semasa tetapi video pada dua tahun lepas.

Menurutnya, rakaman tersebut asalnya dimuat naik oleh isterinya ke media sosial sebelum segera dipadamkan apabila ia kembali tular.

Selain video menari di kelab malam, turut tersebar rakaman yang menunjukkan Ajie membaling hadiah kepada seorang wanita.

Anggota DPRD Wilayah Sumatera Utara dari Parti Gerindra, Ajie Karim.

"Kami memohon maaf jika ia menimbulkan kekecohan,” katanya sambil mengakui telah memberikan penjelasan kepada Parti Gerindra dan menyerahkan sepenuhnya kepada parti untuk membuat keputusan lanjut.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Pimpinan Wilayah Sumatera Utara Parti Gerindra, Sugiat Santoso, mengesahkan Ajie akan dipanggil untuk disoal siasat.

"Kita akan siasat dan minta penjelasan terus daripada pihak berkenaan. Sekiranya ada pelanggaran yang dibuktikan, sekatan tegas akan dikenakan," tegasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram