
SEMANGAT persaudaraan serumpun antara Malaysia dan Indonesia kembali menjadi perhatian apabila ramai rakyat Malaysia mengambil inisiatif membeli makanan untuk warga jiran yang sedang berdepan kesukaran.
Gelombang protes anti-kerajaan yang melanda Indonesia sejak 25 Ogos lepas menyaksikan ramai rakyat mereka turun ke jalan di Jakarta dan bandar-bandar utama dengan harapan suara akan didengari pemerintah, namun tunjuk perasaan itu dicemari tindakan kekerasan melampau pihak berkuasa.
Keadaan bertambah parah apabila penghantar makanan (ojek), Affan Kurniawan terbunuh apabila dirempuh kenderaan pihak berkuasa ketika demonstrasi berlangsung, selain ratusan peserta protes cedera dan diberkas.
BACA LAGI: [VIDEO] Kemenangan buat rakyat Indonesia, Prabowo setuju hapus elaun DPR
Tidak sanggup melihat negara jiran dilanda kesusahan, rakyat Malaysia menunjukkan solidariti dan antaranya membuat pesanan makanan secara dalam talian seperti yang dilakukan pengguna Threads, Sakinahtyasin.
"Tadi baca sharing dari Threadians yang bagitahu kita boleh order makanan untuk kawan-kawan di Indonesia. Alhamdulillah, sikit bagi kita, bermakna pada orang lain. Rp102,000 lebih kurang RM26 saja dah boleh dapat enam pinggan nasi goreng," tulisnya.
Hantaran itu pantas menarik perhatian dan menjadi ikutan ramai warganet Malaysia yang turut terinspirasi untuk berbuat perkara sama sebagai tanda solidariti mereka terhadap keadaan di negara jiran.
"Done.. Tadi rider call ada suara kawan dia di belakang. Gembira betul gayanya mereka," kata pengguna lain, Amierulhasan yang menceritakan pengalaman menyentuh hati selepas membeli Nasi Kuning Ayam untuk seorang penunggang e-hailing di Indonesia.
Gelombang protes anti-kerajaan yang melanda Indonesia sejak 25 Ogos lepas.
Gelombang solidariti berkenaan nyata memberi kesan besar buat masyarakat Indonesia yang tidak menyangka warga Malaysia sanggup membantu walaupun dari jauh hingga ada yang mengakui tersentuh dengan keikhlasan ditunjukkan orang ramai.
"Di Threads tengah rancak. Satu Indonesia harus tahu kerana negara jiran, Malaysia sedang berduyun-duyun membantu rakyat Indonesia terutama pekerja e-hailing seperti Grab dan Ojek di Jakarta.
"Mereka ganti lokasi ke Jakarta dan order Grab Food untuk memberi makanan kepada pekerja e-hailing. I just nak cakap terima kasih banyak-banyak kerana dah sokong rakyat Indonesia," luah pengguna Threads, Larasatipusparas.
"I dont know how to thanks for all your kindness. It really touching to my heart. Padahal kami (some of us) dan aku sering ejek dan mocking tapi kalian selalu anggap saudara. Malu tapi terharu kebaikan dan dewasa nya kalian. Big hug," kata warganet Indonesia, takusahkenalaku
Tangkap layar video penghargaan pengguna Threads, Larasatipusparas.
Respons itu jelas menggambarkan betapa hubungan dua negara jiran yang kadangkala dilihat tegang kerana perbezaan budaya, isu sukan atau media sosial, tetap kembali diperteguh melalui nilai kemanusiaan.
Sumbangan yang pada mata kasar dilihat kecil hanya beberapa puluh ringgit untuk membeli makanan namun hakiktanya ia menjadi besar nilainya kepada penerima yang sedang diuji seperti rakyat di Indonesia.
Inisiatif membeli makanan dari jauh bukan sahaja mengisi perut mereka yang memerlukan, tetapi turut mengisi hati dengan rasa kasih sayang, persaudaraan dan harapan bahawa Malaysia dan Indonesia sentiasa ada untuk saling menyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram