
JUTAWAN Poland, Piotr Szczerek meluat dengan sikap warganet yang membesarkan isu membabitkan dirinya selepas perlawanan di Gelanggang 11, Terbuka AS di Pusat Tenis Nasional Billie Jean King, New York, Amerika Syarikat pada Khamis lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat paving Drogbruk itu menerima kecaman hebat daripada warganet selepas dia pantas menyambar topi pemberian Kamil Majchrzak daripada seorang budak lelaki.
Video berkenaan tular dan mencetuskan kemarahan ramai peminat tenis yang mengecam tindakan lelaki berkenaan sebagai tamak dan tidak bertimbang rasa kerana merosakkan momen berharga untuk seorang kanak-kanak.
BACA LAGI: [VIDEO] Bintang tenis ubati hati budak lelaki lepas jutawan rampas topi edisi khas US Open
BACA LAGI: [VIDEO] Padah pijak ‘net’, bintang tenis Poland pecah raket sendiri
Memberi respons terhadap isu berkenaan, Szczerek tidak menafikan bahawa dia mengambil topi pemberian bintang tenis Poland itu, namun menurutnya tindakan tersebut bukan sesuatu yang salah.
Sikap orang ramai yang melihat tindakan itu seolah-olah satu kesalahan besar membuatkan Szczerek mahu mengheret individu-individu yang menabur fitnah dan memberi komen negatif terhadapnya ke mahkamah.
A Polish millionaire CEO and businessman was exposed after grabbing a tennis star’s hat that was being given to a child
— FearBuck (@FearedBuck) August 30, 2025
"Insiden terbaru di perlawanan tenis telah mencetuskan kekecohan luar biasa di media sosial. Semuanya gara-gara topi terkenal itu. Ya, saya yang ambil. Ya, saya lakukan dengan cepat. Tetapi seperti yang selalu saya katakan, hidup ini siapa cepat dia dapat.
"Saya faham mungkin ada yang tidak menyukainya, namun tolonglah, jangan jadikan topi itu sebagai skandal global. Ia hanya sebuah topi. Kalau anda lebih pantas, tentu anda yang memilikinya.
"Berkenaan dengan kebencian dalam talian, saya ingin mengingatkan bahawa menghina seorang figura awam boleh dikenakan tindakan undang-undang. Semua komen berbaur hinaan, fitnah dan sindiran akan diteliti untuk kemungkinan dibawa ke mahkamah," tegasnya.
Dalam pada itu, Majchrzak sebelum ini juga sudah mengubati budak lelaki itu apabila dia dilaporkan berjumpa dengan kanak-kanak berkenaan dan memberinya topi baharu dan hadiah lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram