
AKSI beberapa ahli Parlimen Indonesia yang menari kegembiraan selepas usul kenaikan elaun perumahan diluluskan dianggap sebagai punca utama di sebalik rusuhan sekitar ibu negara itu.
Ini kerana tindakan tersebut dianggap tidak menghormati rakyat Indonesia yang terus dihimpit dengan masalah sosioekonomi kerana jurang besar dapat disaksikan antara penduduk biasa dan penguasa.
Rakaman itu kemudian menaikkan api kemarahan dalam kalangan masyarakat apabila masing-masing bertindak membanjiri jalanan dengan mendesak agar Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dibubarkan segera.
Menyedari situasi tersebut, salah seorang ahli Parlimen, Surya Utama atau turut dikenali sebagai Uya Kuya tampil meminta maaf sambil menjelaskan hal sebenar di sebalik tarian itu.
Katanya, tindakan sebilangan ahli politik yang menari adalah disebabkan kehadiran anggota muzik dalam dewan selepas Pidato Kenegaraan dibaca Presiden, Prabowo Subianto.
"Tidak ada maksud lain untuk ngeledek (membuat muka seperti cemuhan) atau agenda lain sama sekali. Saya sendiri secara peribadi, jika tarian itu dianggap menyakiti, saya minta maaf," katanya.
Tambahnya, tarian tersebut adalah dibuat bagi menghormati usaha kumpulan muzik itu dan tidaklah dibuat bagi merendahkan situasi sebenar dialami penduduk di negara terbabit.
Permohonan maaf itu dibuat menerusi satu hantaran di laman Instagram peribadinya dengan dia turut mewakilkan isterinya, Astrid Khairunisha yang juga salah seorang ahli Parlimen.
Sebelum menceburi dunia politik, Uya Kuya sememangnya dikenali di Indonesia memandangkan dia merupakan anggota dalam kumpulan Tofu Reunion selain pernah berkali-kali muncul di kaca televisyen.
Jelasnya, kumpulan muzik yang dimaksudkan mengalunkan lagu 'Maumere' yang kemudiannya membuatkan hampir keseluruhan anggota DPR menari dan berjoget rancak.
Setakat ini, beberapa ahli politik lain sudah melakukan permohonan maaf secara terbuka dalam usaha meredakan protes dilakukan rakyat akibat kenaikan elaun tersebut.
Bagaimanapun, rancangan itu belum membuahkan hasil apabila ribuan rakyat Indonesia masih membanjiri jalanan, terutamanya sekitar Jakarta bagi menuntut kehidupan lebih baik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram