[VIDEO] 'Too much lah bro', konten Aisar Khaled hadir kebumi Affan Kurniawan di Indonesia kurang disenangi


  • Massa
  • Ahad, 31 Ogos 2025

Niat Aisar tidak diterima baik oleh pengguna media sosial dari Malaysia dan Indonesia yang menyifatkan tindakannya mengeksploitasi upacara pengebumian demi kandungan media sosial sebagai tidak beretika dan tidak berempati.

 

 

KEHADIRAN pempengaruh Malaysia, Aisar Khaled pada perarakan pengebumian penunggang e-hailing Ojek, Affan Kurniawan Zulkifli di Jakarta, Indonesia baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila tindakannya merakam momen berkenaan untuk dimuat naik ke media sosial mengundang kecaman hebat warganet.

Pada awalnya, Aisar disanjung kerana tampil menunjukkan solidariti dengan mengiringi jenazah, membantu mengusung keranda dan menurunkan jenazah ke liang lahad di Tanah Perkuburan Umum (TPU) Karet Bivak.

Malah, dalam rakaman yang dikongsi turut menunjukkan Aisar memberi penghormatan terakhir di rumah Affan sambil menyertai ratusan penunggang Ojek yang mengiringi Allyarham dengan kapsyen berbunyi 'Kita manusia ada hati, Al-Fatihah Affan Kurniawan bin Zulkifli'.

BACA LAGI: [VIDEO] Menteri joget dalam sidang Parlimen, sifatkan rakyat 'orang tolol sedunia' punca rusuhan Indonesia

BACA LAGI: [VIDEO] Rumah Ahmad Sahroni diserang, patung Iron Man bernilai RM100,000 antara barang 'dirampas' rakyat Indonesia

Namun, niat tersebut tidak diterima baik oleh majoriti pengguna media sosial yang menyifatkan tindakannya mengeksploitasi upacara pengebumian demi kandungan media sosial sebagai tidak beretika dan tidak berempati.

Kritikan pedas datang daripada warganet Indonesia mahupun Malaysia sama-sama menuduh Aisar sebagai pencipta kandungan oportunistik atau mengambil kesempatan atas kesedihan orang lain.

"Kalau benar nak menguatkan keluarga atau mengucapkan takziah, tak perlu rakam dan jadikan kandungan," kata salah seorang pengguna Indonesia, rianseeet.

"Aisar Khaled ini tone deaf , sebab itu dia dijauhkan dari Malaysia. Sekarang mahu rebut perhatian di Indonesia. But this is too much lah bro. Dah tak kelakar," kata warganet Malaysia, Thea.

"Mamat ini memang suka buat content bila ada isu besar. Dulu arwah Siti Sarah meninggal, dia pergi kubur rakam juga," kata warganet Apelu di laman X.

Kematian arwah Affan Kurniawan yang dilanggar trak polis ketika sedang bekerja pada saat demonstrasi berhampiran Dewan Parlimen Rakyat (DPR) di Jakarta menjadi bahan bualan hangat ketika ini.

Allahyarham pada Khamis difahamkan dalam perjalanan menghantar pesanan namun terperangkap dalam lautan rakyat Indonesia yang berkumpul di lokasi tersebut bagi membantah keputusan menaikkan elaun perumahan ahli Kabinet dan Menteri di negara tersebut.

Bagaimanapun, dia yang terjatuh semasa tunjuk perasan itu dilanggar dan digilis kenderaan tempur berkenaan dan kemudian disahkan meninggal dunia di hospital.

Allahyarham Affan Kurniawan (kiri) meninggal dunia selepas dilanggar truk polis dalam kejadian pada Khamis. — Agensi

Sebelum ini, kerajaan Indonesia menyatakan kesediaan untuk membantu keluarga Allahyarham selain mengesahkan sudah menahan tujuh anggota polis yang berada dalam truk tempur ketika kejadian.

Hasil siasatan awal mendapati pemandu kenderaan polis yang melanggar mangsa ialah Bripka Rohmat sementara yang duduk di sebelahnya ketika kejadian ialah Kompol Cosmas yang juga pegawai berpangkat paling tinggi dalam kenderaan itu.

Lima lagi anggota yang masing-masing duduk di bahagian belakang iaitu Aipda Rohyani, Briptu Danang, Bripda Mardin, Baraka Jana Edi dan Baraka Yohanes David. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram