[VIDEO] 'Anak saya sudah tiada pak', gugur air mata ibu Affan Kurniawan saat terkenangkan anak sulung harapan keluarga


  • Benua
  • Sabtu, 30 Ogos 2025

Probowo (kiri) menenangkan ibu Affan yang sememangnya terkesan dengan pemergian anaknya.

KEMATIAN arwah Affan Kurniawan yang dilanggar trak polis ketika menyertai demonstrasi berhampiran Dewan Parlimen Rakyat (DPR) di Jakarta, Indonesia menjadi bahan bualan hangat ketika ini.

Allahyarham pada Khamis bersama ratusan rakyat Indonesia lain berkumpul di lokasi tersebut bagi membantah keputusan menaikkan elaun perumahan ahli Kabinet dan Menteri di negara tersebut.

Bagaimanapun, dia yang terjatuh semasa tunjuk perasan itu dilanggar dan digilis kenderaan tempur berkenaan dan kemudian disahkan meninggal dunia di hospital.

BACA LAGI: [VIDEO] Sudah bermaafan, penjual teh ais rayu Presiden Prabowo tolak peletakan jawatan Gus Miftah

BACA LAGI: Anwar Ibrahim terima kunjungan hormat Prabowo di Perdana Putra

Allahyarham Affan (kiri) meninggal dunia selepas dilanggar truk polis dalam kejadian pada Khamis. — Agensi

Kehilangannya sudah tentu memberi kesan hebat terhadap keluarga kerana menurut laporan media Indonesia, Affan merupakan sumber pendapatan utama dengan pekerjaannya sebagai penunggang e-hailing, Ojek dapat menanggung mereka semua.

Lebih menyentuh hati lagi, pemergian Allahyarham sememangnya memberi impak emosi terhadap ibunya yang gagal menahan sebak ketika menerima kunjungan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

"Anak saya sudah tiada pak," kata wanita berkenaan yang kemudian menyaksikan pemimpin negara tersebut memeluknya sebagai menzahirkan tanda simpati akan perkhabaran duka itu.

Suasana menyentuh hati tersebut sempat dirakam dan dimuat naik di laman Facebook Prabowo untuk Indonesia yang turut memaparkan presiden negara itu pada awalnya bertemu bapa mangsa.

Probowo sempat bertanya jumlah cahaya mata lelaki kedua-dua pasangan tersebut yang menyatakan mereka mempunyai tiga anak lelaki, termasuk arwah Affan.

Sebelum ini, kerajaan Indonesia menyatakan kesediaan untuk membantu keluarga Allahyarham selain mengesahkan sudah menahan tujuh anggota polis yang berada dalam truk tempur ketika kejadian.

Hasil siasatan awal mendapati pemandu kenderaan polis yang melanggar mangsa ialah Bripka Rohmat sementara yang duduk di sebelahnya ketika kejadian ialah Kompol Cosmas yang juga pegawai berpangkat paling tinggi dalam kenderaan itu.

Lima lagi anggota yang masing-masing duduk di bahagian belakang iaitu Aipda Rohyani, Briptu Danang, Bripda Mardin, Baraka Jana Edi dan Baraka Yohanes David.

Untuk rekod, insiden tragis itu mencetuskan kemarahan orang ramai selepas video kejadian tular di media sosial yang mendakwa mangsa maut akibat digilis kenderaan ketika bertugas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram