[VIDEO] Insiden tembakan stesen minyak JB: Mayat lelaki tanpa IC dengan kesan peluru ditinggalkan di HSA


  • Kes
  • Jumaat, 04 Jul 2025

Tangkap layar dari cubaan samun sekitar Johor Bahru yang kemudiannya menyaksikan beberapa das tembakan dilepaskan.

MAYAT seorang lelaki ditinggalkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dengan beberapa kesan tembakan dikesan di tubuh badan awal pagi Khamis.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada polis kira-kira pukul 1.40 pagi dengan mayat itu ditemui tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan hospital menunjukkan mangsa (si mati) ditinggalkan oleh dua individu yang sedang dikenal pasti menggunakan kenderaan berwarna gelap.

BACA LAGI: [VIDEO] Kes tembak Cheras: Suspek masih bebas, 18 individu dirakam keterangan

BACA LAGI: [VIDEO] Pak guard terpaksa tembak kaki lelaki agresif acu senjata tajam di Banting

“Semakan padanan cap jari mendapati si mati adalah seorang lelaki India berusia 42 tahun berasal dari Sungai Petani, Kedah dan mempunyai empat rekod jenayah lalu.

“Bedah siasat dijalankan pegawai perubatan mengesahkan punca kematian adalah disebabkan beberapa das tembakan ke arah dada dan tubuh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas beliau lagi, siasatan awal mendapati berlakunya insiden serangan dipercayai bermotifkan samun di kawasan stesen minyak di Gelang Patah, Johor sebelum kejadian penemuan mayat pada pukul 12 tengah malam.

Berdasarkan rakaman CCTV di lokasi kejadian, sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerang kumpulan lelaki lain yang memiliki pistol dan di dalam kereta gelap sebelum beberapa das tembakan dilepaskan.

Kata Kumar lagi, bertindak atas maklumat pada hari sama jam kira-kira pukul 7 malam, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor bersama Ibu Pejabat Daerah (IPD) Iskandar Puteri membuat tangkapan terhadap dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga India berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun di kawasan Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Tubuh lelaki tersebut ditemukan sekitar Hospital Sultanah Aminah pada Jumaat.

“Turut dirampas semasa tangkapan sepucuk pistol jenis Glock 19; buku lesen pemilikan senjata dan peluru; kelopak peluru berisi enam butir peluru bersaiz 9mm; sebuah kereta jenis Honda Accord warna hitam dan kelongsong peluru.

“Seorang daripada suspek yang ditahan bekerja sebagai pengawal peribadi dan siasatan awal mendapati dia mempunyai lesen pemilikan senjata. Namun, siasatan lanjut akan dibuat berkaitan status pemilikan berkenaan.

“Ketiga-tiga suspek ditahan reman tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis depan bagi siasatan lanjut. Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti kaitan si mati dan suspek dengan kedua-dua insiden itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh; Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata dalam rusuhan selain Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepaskan tembakan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram