Kecewa tak dapat wang dan motosikal, 2 kali pemuda bakar rumah ibu di Kota Lubuklinggau


  • Benua
  • Rabu, 27 Ogos 2025

Dicky turut membakar tiga buah katil di dalam rumah dan turut memusnahkan pakaian milik ibunya sebelum melarikan diri.

SEORANG pemuda nekad membakar rumah ibu bapanya sebanyak dua kali kini meringkuk di balik jeriji besi selepas ditahan pihak polis pada Isnin (25 Ogos).

Suspek, Dicky Ubaidillah, 28, ditahan selepas satu laporan dibuat oleh ibunya sendiri, Herianah, 67, berikutan tindakan melampau membakar rumah mereka di Kelurahan Batu Urip, Kecamatan Lubuklinggau Utara II, Kota Lubuklinggau.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Daerah Lubuklinggau, ASP M Kurniawan Azwar, insiden bermula pada malam Sabtu (9 Ogos) apabila Dicky pulang ke rumah dalam keadaan marah dan menuntut wang berjumlah RM54.60 (RP240,000) tanpa sebarang alasan munasabah, dia juga meminta untuk meminjam motosikal ibunya.

BACA LAGI: 'Tapau' sampai 40 projek, warga asing tutup rezeki rakyat tempatan tawar servis ubah suai di Lembah Klang

BACA LAGI: Baru beberapa minggu, 3 coach Liga Super sudah didesak letak jawatan, patut kena pecat

 

 

“Suspek sering kali mengugut ibunya dan akan naik angin sekiranya permintaannya tidak ditunaikan.

"Namun kali ini, ibu suspek enggan melayan permintaan tersebut kerana tidak mampu lagi memenuhi kehendaknya,” kata Kurniawan.

Akibat kecewa permintaannya ditolak, suspek bertindak mengugut untuk membakar rumah.

Takut dengan ugutan itu, Herianah mengambil keputusan untuk menumpang sementara di rumah jiran.

Ketakutan Herianah menjadi kenyataan apabila rumahnya terbakar pada awal pagi keesokan harinya dan kebakaran berjaya dikawal tidak lama selepas kejadian.

Namun, insiden tidak terhenti di situ kerana pada Ahad (24 Ogos), Dicky kembali mengulangi perbuatannya.

Kali ini, dia membakar tiga buah katil di dalam rumah dan turut memusnahkan pakaian milik ibunya sebelum melarikan diri.

Tidak tahan lagi dengan tindakan anaknya, Herianah akhirnya tampil membuat laporan polis.

Suspek ditahan ketika bersembunyi di atas siling rumah.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku bertindak sedemikian kerana sakit hati apabila ibunya enggan meminjamkan motosikal,” jelas Kurniawan.

Kini, Dicky sedang ditahan untuk siasatan lanjut dan bakal berdepan tindakan undang-undang atas perbuatannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram