Pengkhianat rakyat Palestin, Yasser Abu Shabab kini diburu, ada masa 4 hari serah diri


  • Benua
  • Isnin, 07 Jul 2025

Yasser (kiri) kini diburu kumpulan pejuang Palestin kerana membelot rakyat negara itu. — Agensi

GABUNGAN kumpulan pejuang Palestin bersepakat melabel Yasser Abu Shabab sebagai pengkhianat upahan rejim Zionis selepas ketua militia Gaza itu mengakui bekerjasama dengan tentera Israel untuk memerangi Hamas.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, gabungan Joint Operations Room of the Palestinian berkata, Yasser dan kumpulannya sudah tersimpang daripada perjuangan dan kehilangan identiti sebagai rakyat Palestin.

Gabungan itu juga memberi amaran bahawa tiada ihsan akan ditunjukkan terhadap Yasser atau pihak yang bersetongkol dengan penjajahan Israel.

BACA LAGI: Derita anak Palestin kudung tangan akibat perang dipilih foto terbaik World Press Photo 2025

BACA LAGI: [VIDEO] Wartawan wanita Palestin maut serangan udara Israel, sehari selepas karya terpilih Festival Filem Cannes

"Tiada pengakhiran yang baik untuk pengkhianat dan mereka selamanya akan malu kepada Tuhan dan rakyat mereka sendiri," kata gabungan itu.

Joint Operations Room of the Palestinian dalam pada itu memuji kumpulan yang menyokong perjuangan menentang penjajah Zionis.

"Kami menghargai mereka yang menyokong kami dan tidak mengkhianati perjuangan ini," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Mahkamah Tentera di bawah Kementerian Dalam Negeri Gaza memberi masa 10 hari kepada Yasser bermula 2 Julai untuk menyerah diri kepada pihak berkuasa dan dibicarakan.

Yasser berdepan tiga pertuduhan iaitu membelot dan bekerjasama dengan tentera musuh, membentuk kumpulan bersenjata dan memberontak.

Kegagalan Yasser untuk menyerah diri akan menyebabkan status dirinya diletakkan sebagai pelarian.

Dia dituduh membentuk kumpulan bersenjata di bawah arahan tentera Israel di kawasan timur Rafah yang kini dikuasai rejim.

 

Kumpulan itu dilaporkan melakukan pembunuhan orang awam, membunuh pejuang dan mencuri bekalan kemanusiaan yang memasuki Gaza menerusi sempadan Kerem Shalom.

Tindakan kumpulan itu dipercayai mengikut arahan tentera Israel.

Kumpulan pejuang Palestin memberi amaran bahawa kewujudan kumpulan bersenjata yang dibentuk tentera Israel bertujuan menggugat kestabilan Gaza dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi lebih dua juta rakyat Palestin di Gaza.

Bulan lalu, pihak keselamatan Israel mengaku memberi bantuan senjata kepada kumpulan Palestin yang menentang Hamas di Gaza tetapi enggan mendedahkan identiti pihak terlibat.

Namun media Israel mengenal pasti kumpulan tersebut yang diketuai Yasser.

"Ini tindakan betul demi menyelamatkan nyawa askar Israel," kata Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada ketika itu.

Anggota Knesset (Parlimen) dan bekas menteri pertahanan Avigdor Lieberman bagaimanapun menuduh kerajaan memberi senjata kepada kumpulan penjenayah.

Majlis Hubungan Luar Eropah menyifatkan Yasser sebagai ketua kumpulan penjenayah di Rafah dan dipercayai terlibat dalam aktiviti mencuri bantuan kemanusiaan.

Yasser juga tidak menafikan dakwaan tersebut ketika diwawancara baru-baru ini, sebaliknya menegaskan kumpulannya mahu menjatuhkan Hamas bagi memberi laluan penubuhan kerajaan baharu di Gaza.

"Kami tidak dimiliki mana-mana ideologi atau pertubuhan politik.

"Saya mahu menghapuskan Hamas yang dicemari rasuah.

"Kami akan terus berjuang. Ketika ini, Hamas semakin lemah dan masa mereka akan tiba," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram