Tidak ikut jejak AS, negara Eropah pilih elak berperang dengan Iran


  • Benua
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Beberapa serangan Iran telah mengakibatkan kerosakan infrastruktur di Israel. — Agensi

MENTERI Luar bagi negara anggota Kesatuan Eropah (EU) akan bertemu dengan wakil Iran pada Jumaat bagi memulihkan saluran diplomatik berhubung program nuklear Iran meskipun Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan untuk menyertai serangan Israel ke atas Iran.

Menteri dari Britain, Perancis, Jerman (E3) dan Ketua Dasar Luar EU telah berbincang lebih awal dengan wakil Iran, Abbas Araqchi, serta menyelaras usaha bersama Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.

Dalam perbualan itu, mereka menekankan keperluan kembali ke meja rundingan bagi mengelak ketegangan dan atas cadangan Iran, pertemuan secara bersemuka diatur.

BACA LAGI: Iron Dome hanya mampu bertahan 10-12 hari lagi tangkis misil Iran

BACA LAGI: [VIDEO] Konflik Iran-Israel makin tegang, kapal perang AS dikerah ke Timur Tengah

Israel dan Iran saling melancarkan serangan sejak Israel memulakan serangan ke atas Iran pada 13 Jun 2025. — Agensi

Rundingan akan berlangsung di Geneva, Switzerland yang merupakan lokasi perjanjian nuklear awal Iran pada 2013 sebelum dibawa kepada perjanjian penuh dua tahun kemudian.

Rundingan terkini itu dibuat selepas usaha Iran-AS gagal bagi mencari jalan pendamaian susulan serangan Israel pada 12 Jun melalui Operation Rising Lion ke atas fasiliti nuklear dan peluru berpandu Iran.

Eropah berharap untuk menggesa Iran kembali ke meja rundingan dan menyuarakan kebimbangan tentang peluru berpandu, sokongan Iran kepada Rusia dan penahanan warga asing. Menurut diplomat Eropah, hanya mereka boleh berbincang terus dengan Iran kerana Iran enggan berunding dengan AS.

Kuasa Eropah kecewa dengan pendekatan AS dalam rundingan terdahulu, yang dianggap terlalu menuntut dan berisiko mencetuskan rundingan berlarutan tanpa penyelesaian kukuh.

Walaupun tiada harapan besar untuk kejayaan segera di Geneva, diplomat Eropah menegaskan bahawa perbincangan tetap penting kerana pengetahuan nuklear Iran tidak boleh dipadam, dan mereka boleh membangunkan semula program secara rahsia selepas konflik berakhir.

Iran menegaskan komitmen terhadap diplomasi, namun mendesak E3 agar menekan Israel supaya menghentikan serangan. Pegawai Iran berkata, diplomasi satu-satunya jalan, tetapi kini ia sedang diserang.

Setiausaha Luar Britain, David Lammy, selepas bertemu pemimpin AS, menyatakan terdapat 'tingkap masa' dua minggu untuk mencari penyelesaian diplomatik, merujuk kenyataan Presiden Trump yang akan membuat keputusan dalam tempoh itu sama ada akan menyertai Israel.

Sebelum serangan Israel, E3 dan AS menyokong resolusi IAEA yang mendakwa Iran melanggar perjanjian nuklear. Eropah mempertimbangkan untuk merujuk Iran ke Majlis Keselamatan PBB jika tiada kemajuan, selain mengaktifkan semula sekatan melalui mekanisme 'snapback' sebelum 18 Oktober apabila perjanjian 2015 tamat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram