Terlewat 10 minit akibat kesesakan trafik, siswi 28 tahun terselamat nahas Air India


  • Benua
  • Sabtu, 14 Jun 2025

Punca kapal terbang itu terhempas tidak lama selepas berlepas masih berada dalam siasatan pihak berkuasa. — Agensi

NAHAS Air India penerbangan 171 yang terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmedabad ketika dalam perjalanan dari India ke London, United Kingdom (UK) boleh dikatakan sebagai insiden paling teruk kebelakangan ini.

Ini kerana kemalangan pada Khamis tersebut menyaksikan seramai 274 individu terbunuh, iaitu 241 mangsa di dalam pesawat itu sementara baki daripadanya berada dalam sebuah asrama yang berada sekitar kawasan terhempas.

Bagaimanapun, masih terdapat pelbagai hal menakjubkan dapat dikupas daripada insiden ngeri itu, termasuk kisah penumpang terselamat selepas tidak sempat menaiki kapal terbang berkenaan.

BACA LAGI: Wajah ceria kru Air India sebelum nahas, sebaknya sedikit pun tak sangka itu tugas terakhir

BACA LAGI: [VIDEO] Trauma dikelilingi ratusan mayat, Ramesh mangsa tunggal terselamat nahas Air India hanya cedera ringan

Chouhan menyatakan kelewatannya ibarat rahmat apabila dia tidak dapat mendaftar masuk ke dalam pesawat.  Agensi

Individu tersebut merupakan Bhumi Chouhan yang terlepas untuk mendaftar masuk selepas terlewat kira-kira 10 minit akibat kesesakan lalu lintas dalam perjalanan ke lapangan terbang.

Kelewatan tersebut boleh dianggap satu rahmat baginya apabila dia dihalang daripada menaiki pesawat berkenaan dengan menyatakan situasi itu ibarat 'kelahiran semula' buatnya.

"Kapal terbang itu dijadualkan berlepas pada pukul 1.10 petang dan saya perlu mendaftar masuk sebelum 12.10 tetapi saya terlepas kerana tersekat dalam kesesakan. Saya tiba dan pintu masuk sudah ditutup.

"Pada awalnya, saya berasa amat sedih kerana tidak dapat menaiki pesawat. Namun, semasa dalam perjalanan pulang, saya dapat tahu kapal terbang itu terhempas," katanya.

Jelasnya, dia tiba di pintu mendaftar masuk dalam keadaan keletihan dan belum sempat mencetak pas masuk yang pasti memakan masa untuknya memasuki pesawat.

Kapal terbang terhempas itu mengakibatkan kematian lebih dari 200 individu. — Agensi

Chouhan yang merupakan mahasiswi berusia 28 tahun berada di India untuk bercuti selepas menetap di London bersama suaminya dengan lawatan ke negara Asia itu dibuat selepas hampir dua tahun tidak pulang.

Tetapi, sekali pun dia dapat menaiki penerbangan tersebut, dia sama sekali tidak akan bersama keluarganya selepas kapal terbang itu terhempas tidak lama selepas ia berlepas.

Ketika ini, siasatan sedang dilancarkan terhadap insiden berkenaan dengan kerosakan teknikal menjadi teori utama pesawat itu terhempas sebelum sempat mencecah altitud 625 kaki.

Perdana Menteri India, Narendra Modi menyatakan nahas tersebut sebagai 'berita menyedihkan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata' sambil meminta pihak berkepentingan membantu keluarga mangsa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram