
SEORANG lelaki yang dikenali dengan inisial OIB di Bantul, Yogyakarta, Indonesia menggemparkan warganet di negara berkenaan selepas meninggalkan surat wasiat kerana kecewa dengan hidupnya.
Menurut Pegawai Polis Bantul, AKP I Nengah Jeffry Prana Widnyana, lelaki berkenaan meninggalkan sepucuk surat di Jambatan Kretek, Bantul pada malam Ahad (8 Jun) dan akhirnya menyebabkan keluarga individu itu panik dan membuat laporan polis.
Surat tulisan tangan tersebut mengandungi mesej penuh emosi susulan lelaki terbabit menyatakan niat untuk melompat dari jambatan berkenaan.
BACA LAGI: Lokasi Khaby Lame jadi misteri lepas tinggalkan AS
BACA LAGI: [VIDEO] Detik cemas helikopter hampir terhempas, pilot muncul wira selamatkan 5 penumpang di India
Dalam surat itu juga, individu itu turut meminta sesiapa yang menjumpai surat tersebut agar menghubungi keluarganya dan melampirkan nombor telefon ahli keluarga sebagai tanda mengucapkan selamat tinggal.
Surat tersebut segera menjadi viral di media sosial, menyebabkan pihak polis bertindak cepat menyiasat dan mencari keberadaannya.
Berdasarkan keterangan daripada para pemancing di bawah jambatan, tiada bunyi atau tanda-tanda bahawa seseorang telah melompat. Malah, salah seorang saksi dilaporkan melihat lelaki tersebut berjalan ke arah selatan.
OIB (kiri) ketika ditemui pihak polis di warung itu. — Agensi
Keesokan paginya (Isnin), sekitar pukul 10.00 pagi (11:00 pagi waktu Malaysia), lelaki tersebut ditemui dalam keadaan sihat dan segar di sebuah warung selain sedang menikmati semangkuk soto yang hangat.
Hasil siasatan pihak polis tempatan, Nengah Jeffry mengesahkan bahawa lelaki tersebut rupanya mempunyai masalah mental dan merupakan pesakit yang sedang menjalani rawatan rutin psikiatri.
Setelah dijumpai, lelaki terbabit segera dijemput oleh keluarganya. Kisah itu mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan warganet Indonesia dengan ada yang merasa lega dan terdapat juga terhibur dengan kejadian itu.
"Akhir cerita ada plot twist macam drama Korea," tulis seorang pengguna media sosial.
"Dari tragedi hampir jadi komedi. Soto memang penyelamat hidup," tambah seorang lagi pengguna media sosial.
"Semangkuk soto kadang-kadang lebih kuat daripada niat untuk mengakhiri hidup," ciap seorang warganet yang merangkumkan kisa berkenaan.
Walaupun begitu, pihak berkuasa dan komuniti mengingatkan bahawa isu kesihatan mental adalah perkara serius dan memerlukan sokongan yang bijak. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan gurauan keterlaluan berhubung kes itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram