Lokasi Khaby Lame jadi misteri lepas tinggalkan AS


  • Benua
  • Rabu, 11 Jun 2025

Lokasi keberadaan Khaby masih menjadi tanda tanya. — Agensi

PEMPENGARUH terkenal, Khaby Lame sudah meninggalkan Amerika Syarikat (AS) selepas ditahan ejen imigresen pada 6 Jun lalu kerana tinggal di negara itu melebihi tempoh yang dihadkan.

Menurut kenyataan Penguatkuasa Imigresen dan Kastam AS, Khaby dibenarkan meninggalkan negara itu secara sukarela tanpa arahan dihantar pulang ke negara asal selepas dia ditahan di Lapangan Terbang Harry Reid pada Jumaat lalu.

Khaby tiba di AS pada 30 April dan tinggal di negara itu melebihi tempoh visanya.

BACA LAGI : [VIDEO] Khaby Lame ditahan di Las Vegas

BACA LAGI : [VIDEO] 'Puas cari tapi tak nampak', remaja OKU di Melaka sesat cari lembu ditemukan lemah di belakang rumah jiran

Bagaimanapun lokasi keberadaannya menjadi tanda tanya selepas meninggalkan AS, lapor Forbes.

Menurut laporan itu, tidak dapat dipastikan sama ada Khaby pulang ke Itali atau ke lokasi lain walaupun dia ada memuatnaik status di Instagram yang menunjukkan lokasi di Sao Paulo, Brazil.

Khaby mencipta nama di TikTok apabila meraih lebih 162 juta pengikut selepas menghasilkan konten komedi ketika zaman pandemic Covid-19.

Dia menjadi pencipta kandungan selepas kehilangan kerja dan turut meraih pengikut seramai 80 juta di Instagram dan 12.5 juta pengikut di YouTube.

Khaby juga pernah tersenarai dalam senarai ‘Fortune 40 Under 40’ dan ‘Forbes 30 Under 30’ pada tahun 2022. Tahun ini, Khaby membuat kemunculan sulungnya di acara fesyen bergengsi Met Gala. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram

khaby lame, tahan, AS, visa, TikToker