[VIDEO] Jurutera China nyaris jadi mangsa diserang robot 'manusia'


  • Benua
  • Ahad, 04 Mei 2025

Tangkap layar video memaparkan detik-detik ketika robot humanoid berkenaan melakukan pergerakan agresif sehingga hampir mencederakan seorang pekerja di pusat ujian tersebut.

SEORANG jurutera di China dilapor hampir menjadi mangsa serangan robot yang boleh berfungsi seperti manusia atau humanoid selepas ia dipercayai mengalami kesilapan kod pengaturcaraan.

Insiden difahamkan berlaku pada minggu lalu di sebuah fasiliti ujian di negara tersebut turut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi dan tular sejak Ahad.

Menerusi klip berdurasi 31 saat itu, dua individu dilihat sedang bekerja berdekatan sebuah robot humanoid dipercayai daripada jenis Unitree H1.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Bagaimanapun, robot berkenaan kemudiannya secara tiba-tiba melakukan pergerakan agresif termasuk menghayunkan tangannya ke atas dan bawah sehingga hampir mengenai salah seorang pekerja tersebut.

Ekoran daripada itu, kedua-dua pekerja terbabit terus menyelamatkan diri dan menjauh sebelum cuba mencapai butang dipercayai untuk menyahaktifkannya.

Untuk rekod, Unitree H1 ialah robot humanoid serba guna pertama keluaran Unitree Robotics, sebuah syarikat robotik terkemuka dari Hangzhou, China.

Dilancarkan pada 2024, ia memiliki kebolehan untuk berjalan dan berlari scara autonomi di ruang yang kompleks seeta memiliki kestabilan dan fleksibiliti yang tinggi.

Dalam pada itu, menurut laporan media antarabangsa yang memetik pakar menyifatkan insiden tersebut bukanlah satu bentuk serangan robot terhadap manusia.

"Dari luar ia kelihatan seolah-olah robot itu telah menyerang salah seorang jurutera, tetapi pakar mencadangkan bahawa robot itu (mungkin) menganggap keadaannya yang terjantung sebagai terjatuh dan cuba menstabilkan dirinya dengan mengaktifkan sistem pembetulan automatik.

"Jurutera juga tidak percaya ia adalah serangan yang disengajakan ke atas manusia.

"Bagaimanapun melihat rakaman itu, ia mengingatkan kita supaya tidak sama sekali bekerja dengan membelakangkan badan kepada robot," jelas laporan tersebut.

Pada Februari lalu, tular satu video memaparkan insiden menunjukkan sebuah robot humanoid dilihat seakan-akan cuba menyerang dengan menanduk penonton sebuah konsert di Taishan, Wilayah Guangdong, China.

Bagaimanapun, dalam kejadian itu, robot berkenaan yang turut dibangunkan Unitree Robotics berjaya ditarik dan dikawal oleh pengawal keselamatan berdekatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram