
BINTANG pop terkenal, Katy Perry bersama lima wanita lain berjaya kembali ke bumi selepas menyertai misi ke angkasa lepas menaiki roket Blue Origin milik usahawan, Jeff Bezos.
Turut serta ialah tunang Jeff, Lauren Sanchez, wartawan terkemuka Amerika Syarikat (AS), Gayle King, ahli sains roket NASA, Aisha Bowe, penyelidik bioastronautik, Amanda Nguyen dan penerbit filem, Kerianne Flynn.
Memetik laporan media antarabangsa, penerbangan selama kira-kira 11 minit itu membawa mereka melepasi sempadan angkasa sejauh 100 kilometer (km) dari permukaan bumi, sekali gus memberi peluang untuk merasai keadaan tanpa graviti.
BACA LAGI: Usia 60 tahun tak halang Farah Khan bersenam naik tangga 28 tingkat 2 kali sehari
Detik ketika Katy mencium tanah sejurus selepas mendarat. — Agensi
Mereka mendarat semula dengan selamat menggunakan kapsul yang dibantu oleh payung terjun.
Katy dilihat mencium tanah sebaik turun dari kapsul tersebut, manakala Gayle turut berlutut dan menyatakan rasa syukur.
Lauren pula menitiskan air mata sambil menzahirkan rasa bangga terhadap lima kru wanita yang terlibat.
Dalam pada itu, Gayle mendedahkan, penyanyi lagu Fireworks tersebut turut menghiburkan mereka dengan menyanyikan lagu What A Wonderful World oleh Louis Armstrong ketika berada di angkasa.
Meskipun peminat mahukan Katy menyanyikan lagunya sendiri, namun beliau enggan berbuat demikian kerana baginya, detik itu bukanlah tentang dirinya seorang.
"Ini bukan tentang saya. Ia mengenai dunia dan menghargainya," katanya.
Selain itu, pelancaran misi berkenaan menarik perhatian ramai selebriti termasuk Khloe Kardashian dan Oprah Winfrey, yang turut berkongsi perasaan terharu dan bangga dengan pencapaian ini.
Namun begitu, penerbangan itu turut menerima kritikan berikutan segilintir pihak yang menyifatkannya sebagai pelancongan mewah dengan bayaran pendahuluan sekitar AS$150,000 (RM662,000) untuk satu tempat duduk tanpa tujuan saintifik.
Beberapa saintis menyuarakan kebimbangan terhadap kesan alam sekitar dan menegaskan bahawa angkasa lepas sepatutnya dimanfaatkan untuk ilmu dan kepentingan manusia sejagat.
Lauren bagaimanapun mempertahankan misi berkenaan, mengatakan ramai wanita muda memperoleh inspirasi daripada penjelajahan itu.
Blue Origin, syarikat angkasa lepas yang diasaskan oleh Jeff pada tahun 2000 berkata, roket mereka tidak menghasilkan karbon sebaliknya hanya wap air.
Namun, pakar berpendapat wap air juga boleh memberi kesan kepada lapisan ozon.
Walaupun dikritik sebagai terlalu eksklusif, penerbangan ini menandakan kemajuan dalam pelancongan angkasa dan membuka lebih banyak peluang untuk masa depan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram