[VIDEO] Majikan terkejut pembantu rumah lahirkan bayi dalam tandas, jumpa bengkung dipercayai helah sembunyikan kehamilan


  • Benua
  • Sabtu, 26 Apr 2025

Pembantu rumah terbabit mendakwa tidak mengetahui bahawa dirinya hamil. — Gambar hiasan/Freepik

SEORANG pembantu rumah warga Filipina menggunakan kain pengikat perut dipercayai sebagai helah untuk menyembunyikan kehamilannya daripada pengetahuan majikan.

Ia bagaimanapun terbongkar selepas dia secara mengejut melahirkan bayi di dalam tandas rumah majikannya dalam kejadian pada 16 April lepas.

Memetik laporan agensi, majikan terlibat langsung tidak menyedari pembantu rumah tersebut sedang hamil kerana fizikalnya kelihatan seperti biasa.

BACA LAGI: Enggan tinggal kerjaya PTD, Nurul Hidayati semakin adaptasi hidup sebagai isteri pereka fesyen

BACA LAGI: Ibu bapa resah kos susu formula, lampin meningkat, boleh cecah RM1,200 sebulan, 5 tip urus perbelanjaan

Malah dia yang digaji kira-kira empat bulan lalu menjalankan tugas harian tanpa sebarang petunjuk pelik termasuk menjaga anak kembar majikannya.

Dalam kejadian yang berlaku di Filipina itu, proses kelahiran berlaku dengan hanya mengambil masa selama dua minit.

Perkara itu dilihat menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) rumah yang tular di media sosial menunjukkan detik cemas apabila wanita terbabit dilihat masuk ke bilik air kira-kira 8.37 pagi.

Dua minit kemudian, dia kedengaran meminta bantuan dan dua ahli keluarga segera bergegas ke bilik air bagi melihat situasi itu.

Ketika menjenguk ke dalam tandas, pembantu rumah itu dilihat sedang memangku bayi yang baru dilahirkan sambil kedengaran suara tangisan.

Lebih mengejutkan, ketika dalam perjalanan ke hospital, pembantu rumah itu mendakwa tidak mengetahui bahawa dirinya hamil.

Namun, semasa majikan terbabit pulang ke rumah untuk mengambil pakaian bayi bagi kegunaan sementara, dia menemui sehelai kain pengikat perut atau bengkung yang disorokkan di antara barang milik pembantu rumah itu.

Penemuan itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kehamilan tersebut benar-benar tidak disedari atau disembunyikan secara sengaja oleh wanita berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram