
KOS membesarkan bayi kini menjadi topik hangat dalam kalangan ibu bapa di Malaysia, berikutan harga susu formula melonjak sehingga lampin pakai buang juga harga dikatakan semakin mahal.
Ramai ibu bapa mula bersuara di media sosial tentang tekanan kewangan yang dihadapi.
Menurut tinjauan di platform Facebook dan X, ramai ibu bapa mendakwa bahawa perbelanjaan bulanan bayi boleh mencecah RM800 hingga RM1,200 sebulan.
BACA LAGI: Label item antara 5 tip 'spring cleaning' detoks kediaman, cipta ruang lebih lapang
BACA LAGI: Kreatif 'makeover' almari lama, kertas hiasan dinding ubah rupa perabot persis rotan mahal
Ia meliputi susu formula, lampin, makanan bayi, pakaian, peralatan penjagaan, dan kos kesihatan.
"Dulu satu pek lampin pakai buang RM30 lebih sahaja. Sekarang nak dekat RM50. Itu pun cepat habis," luah seorang pengguna Facebook.
Ada juga yang berkongsi resit pembelian barang bayi dengan jumlah mencecah ratusan ringgit hanya untuk keperluan dua minggu.
Ibu bapa terpaksa mengurangkan perbelanjaan lain demi memenuhi keperluan si kecil.
Apa kata ibu bapa?
Dalam ruangan komen, ramai berkongsi strategi apabila ada yang beralih kepada lampin kain moden (cloth diaper).
Selain itu, ada juga membeli stok barang secara pukal ketika promosi besar-besaran berlangsung seperti jualan 11.11 atau hujung tahun.
Tidak kurang pula mencuba jenama tempatan yang dikatakan harga lebih murah, tetapi berkualiti.
Namun ada juga yang mengaku terpaksa mengurangkan perbelanjaan lain seperti liburan atau makan di luar, demi memenuhi keperluan si kecil.
Perkongsian maklumat, pengalaman dan tip sesama ibu bapa di media sosial kini menjadi sumber rujukan dalam mendepani cabaran itu.
Lima tip untuk menampung kos perbelanjaan bayi:
1. Beli secara pukal dan jualan promosi
Pantau tarikh jualan dalam talian dan kedai fizikal. Beli lampin, susu, dan tisu basah secara pukal semasa tawaran diskaun.
2. Pertimbang barang terpakai (preloved)
Barang seperti baju, katil bayi, kereta sorong dan mainan selalunya masih dalam keadaan baik. Cari di platform jual beli atau grup komuniti ibu bapa.
3. Pilih jenama alternatif
Tidak semua jenama popular adalah terbaik. Cuba jenama lebih mampu milik yang mendapat ulasan baik daripada ibu bapa lain.
4. Gunakan cloth diaper
Walaupun pelaburan awal agak tinggi, lampin kain moden boleh digunakan semula dan menjimatkan dalam jangka masa panjang.
5. Simpan perbelanjaan, buat bajet bulanan
Catat semua perbelanjaan berkaitan bayi. Ini membantu ibu bapa mengenal pasti mana yang boleh dikurangkan atau disusun semula.
Kesimpulannya, membesarkan bayi dalam suasana ekonomi semasa memang mencabar, tetapi dengan perancangan kewangan yang bijak dan sokongan komuniti, ibu bapa boleh menyesuaikan diri.
Perkongsian maklumat, pengalaman dan tip sesama ibu bapa di media sosial kini menjadi sumber penting dalam mendepani cabaran itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram