
HARI ke-11 tragedi letupan paip gas di Putra Heights dekat Subang Jaya, Selangor membawa pendakwah dan aktivis kemanusiaan, Ustazah Asma' Harun melawat, sekali gus menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Dalam lawatan baru-baru ini, beliau sempat berkongsi pengalaman menyentuh jiwa ketika turun padang dan bertemu sendiri mangsa tragedi tersebut.
Namun lebih sekadar misi kemanusiaan, penaung pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Amal Care itu hadir sebagai ibu, menyelami luka tersirat, trauma, kehilangan dan kekuatan luar biasa dalam diri wanita dan ibu bapa yang diuji.
Pengalaman turun padang itu dikongsi beliau dalam hantaran yang dimuat naik melalui akaun Facebooknya pada Ahad.
"Jumaat lalu kami berjumpa sendiri dengan mangsa letupan kebakaran di PPS kedua. Kisah di sini masih sama, namun terasa lebih sebak kerana kebanyakan mereka berada di tempat kejadian semasa tragedi dahsyat ini berlaku.
"Mereka tidak hanya kehilangan harta, tetapi juga punca rezeki. Dapur niaga dan pelbagai peralatan mencari nafkah rosak sepenuhnya dan tidak dapat digunakan lagi," tulisnya.
Bercerita lanjut, beliau mengakui hilang kata-kata selepas mendengar luahan daripada salah seorang mangsa terbabit yang wajahnya disifatkan kelihatan tenang.
"Saya sendiri hilang kata-kata, seorang wanita saya temui, rumahnya hangus, rumah adik-beradik pun musnah. Tapi wajahnya tetap tenang. Katanya, buat apa nak sedih, semua itu pinjaman. Syukur kami sekeluarga selamat, itu pun dah cukup," kongsi beliau.
Misi kemanusiaan itu turut disertakan dengan pendedahan ilmu berkaitan bantuan kecemasan. — Facebook/Ustazah Asma' Harun
Tambah beliau, wanita berkenaan bertindak lari menyelamatkan diri bersama empat anaknya ketika api sedang marak.
Malah, ada juga anak-anak yang masih teperangkap di dalam kediaman, namun api yang menjulang tinggi menghalang mereka masuk ke kawasan terjejas.
Beliau menambah, seorang ayah masih dalam pemulihan akibat melecur, sanggup keluar lebih awal dari hospital demi memberi semangat kepada anak-anaknya yang trauma.
Beliau turut menyatakan keperluan bantuan berterusan termasuk tempat tinggal sementara, barangan asas dan sokongan mental.
"Kita mungkin lihat mereka tersenyum, namun sebenarnya senyuman itu menyembunyikan duka dan trauma yang ambil masa untuk sembuh.
"Ada anak-anak yang masih tidak dapat tidur lena, ibu-ibu yang masih terbayang detik cemas dan ayah-ayah yang gusar memikirkan masa depan keluarga," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram