
SEBUT sahaja syarikat Michelin, ramai mungkin terbayang jenama tayar ternama dari Perancis yang sinonim dengan kualiti dan ketahanan.
Namun, di sebalik kejayaan dalam industri automotif, siapa sangka syarikat yang diasaskan oleh dua beradik iaitu Édouard dan André Michelin pada 1889 tersebut juga mencipta nama sebagai penanda aras dalam dunia kulinari melalui Panduan Michelin yang berprestij.
Melalui apa yang dikenali sebagai Bintang Michelin, sistem panduan itu memberikan penarafan terhadap restoran di seluruh dunia dan pengaruhnya juga diterima secara meluas di peringkat global.
BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara
Untuk rekod, perjalanan transformasi itu bermula lebih seabad lalu dan terus kekal hingga ke hari ini.
Asal Usul Panduan Michelin
Edouard (kiri) dan Andre mendirikan papan tanda jalan syarikat kepada pihak berkuasa awam pada 1926. — Michelin
Bermula di bandar kecil di Perancis, Clermont-Ferrand, pasangan dua beradik André dan Édouard Michelin menubuhkan syarikat tayar pada 1889.
Ketika itu, mereka mempunyai visi besar untuk industri automobil di Perancis yang ketika itu hanya mempunyai kurang daripada 3,000 kereta.
Untuk menggalakkan lebih ramai orang memandu dan seterusnya meningkatkan jualan kereta serta tayar, mereka menghasilkan sebuah buku panduan merah kecil yang penuh dengan maklumat berguna bagi para pengembara. Panduan ini merangkumi peta, cara menukar tayar, lokasi stesen minyak, dan tempat berehat bagi pengembara yang letih.
Selama dua dekad, panduan ini diedarkan secara percuma.
Namun, segalanya berubah apabila André Michelin pada suatu hari melihat panduannya digunakan sebagai alas meja kerja di sebuah bengkel.
Dengan menggunakan prinsip bahawa "manusia hanya benar-benar menghargai apa yang mereka bayar", edisi baharu Panduan Michelin dilancarkan pada 1920 dan dijual pada harga tujuh franc (RM3.56).
Ketika itu, buat pertama kalinya, panduan terbabit turut menyenaraikan hotel di Paris dan restoran mengikut kategori tertentu, serta menghentikan iklan berbayar dalam panduan tersebut.
Transformasi Panduan Michelin
Restoran akan dianugerahkan satu bintang jika mereka dianggap sebagai tempat yang berbaloi untuk menikmati hidangan mewah. — Michelin
Menyedari pengaruh yang semakin meningkat dalam bahagian restoran, pada 1926, Panduan Michelin mula memberikan penarafan bintang kepada restoran mewah.
Restoran akan dianugerahkan satu bintang jika mereka dianggap sebagai tempat yang berbaloi untuk menikmati hidangan mewah.
Pada 1931, sistem penarafan berkembang kepada pengelasan penarafan dua dan tiga bintang yang berterusan hingga hari ini.
Tidak seperti kebanyakan sistem penarafan bintang, pemberian satu bintang tidak dianggap sebagai sesuatu yang buruk.
Sebaliknya, bilangan Bintang Michelin yang diberikan kepada restoran menandakan penghormatan besar dan pencapaian yang jarang berlaku.
Satu Bintang Michelin dianugerahkan kepada restoran yang menggunakan bahan berkualiti tinggi yang mana hidangan dengan rasa yang menonjol disediakan secara konsisten pada tahap yang tinggi.
Dua Bintang Michelin dianugerahkan apabila keperibadian dan bakat cef jelas terserlah dalam hidangan yang dihasilkan dengan kepakaran menerusi kehalusan masakan mereka yang penuh inspirasi.
Tiga Bintang Michelin ialah anugerah tertinggi diberikan kepada masakan luar biasa oleh cef yang berada di kemuncak kerjaya.
Masakan mereka diangkat ke tahap seni, dan sebahagian hidangan berpotensi menjadi satu karya klasik.
Penilai Misteri
Di Malaysia, sehingga edisi 2025 Panduan Michelin, terdapat tujuh restoran dianugerahkan bintang Michelin. — Buro Malaysia
Untuk memastikan penilaian yang objektif, Michelin turut menggunakan pasukan penilai rahsia atau 'mystery diners' yang direkrut untuk mengunjungi dan menilai restoran secara rahsia dan tidak dikenali.
Mereka yang dipilih perlu mempunyai latar belakang kukuh dalam bidang makanan dan hospitaliti, serta mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya 10 tahun dalam industri restoran dan hotel, serta pengetahuan luas tentang pelbagai masakan dan budaya kulinari.
Ramai antara mereka pernah bekerja sebagai cef, pengurus restoran, atau editor makanan.
Selain itu, pemeriksa juga harus mampu menjalankan tugas secara rahsia, profesional dan konsisten di peringkat antarabangsa.
Kebiasaannya, sebuah restoran boleh dikunjungi beberapa kali oleh pemeriksa berbeza untuk memastikan konsistensi, dan keputusan dibuat secara kolektif oleh pasukan pemeriksa.
Pemeriksa juga dilaporkan menghabiskan banyak masa dalam perjalanan, makan di luar sekurang-kurangnya 9-10 kali seminggu, dan perlu mengekalkan kerahsiaan mengenai pekerjaan mereka termasuk kepada keluarga dan rakan.
Sehingga Disember 2024, Panduan Michelin telah menilai lebih daripada 30,000 restoran di sekitar 30 negara.
Terdapat 145 restoran di seluruh dunia yang dianugerahkan tiga bintang Michelin, dengan Perancis mendahului senarai sebanyak 30 restoran.
Di Malaysia, sehingga edisi 2025 Panduan Michelin, terdapat tujuh restoran dianugerahkan bintang Michelin.
Daripada jumlah tersebut, satu restoran menerima dua bintang, manakala enam restoran lain menerima satu bintang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram