Ratu cantik ditemukan maut bawah runtuhan kondo mewah ekoran gempa bumi Myanmar


  • Benua
  • Sabtu, 05 Apr 2025

Silimee pernah dinobatkan sebagai juara Miss Tourism Myanmar 2018.

RATU cantik Myanmar, Silimee, yang pernah dinobatkan sebagai juara Miss Tourism Myanmar 2018 disahkan maut dalam kejadian runtuhan apartmen mewah Sky Villa di Mandalay, Myanmar. 

Runtuhan tersebut berpunca daripada gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 yang melanda Myanmar Tengah pada 28 Mac lepas.

Mayat Silimee ditemui pada Rabu selepas pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat tanpa henti selama lima hari. 

BACA LAGI: [VIDEO] Hajat 'membuang' tepi jalan terbantut, pemandu lori cedera diserang harimau di Bukit Tangga

BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura tanya bekalan air sebelum ragut rantai budak perempuan di Putrajaya

Berita kematiannya diumumkan secara rasmi oleh Penganjur Miss Tourism Myanmar menerusi satu kenyataan di laman Facebook mereka pada Khamis.

"Silimee, yang mewakili Myanmar dalam pertandingan Miss Tourism World 2018 terperangkap dalam insiden runtuhan Sky Villa akibat gempa bumi pada Jumaat lepas. 

"Selepas pencarian penuh oleh pasukan penyelamat, jasad beliau akhirnya ditemui dan kematian disahkan pada Rabu," tulisnya.

Sky Villa merupakan sebuah apartmen mewah setinggi 12 tingkat yang siap dibina pada 2017. 

Bangunan itu sebelum ini dipromosikan sebagai struktur tahan gempa dan menempatkan sky bar terbesar di Mandalay serta sebuah pusat kecergasan dengan kemudahan serba moden. 

Namun, kekuatan gempa bumi menyebabkan struktur bangunan runtuh sepenuhnya.

Pada Jumaat, seramai 3,085 orang disahkan terkorban dalam bencana ini dan angka korban dijangka terus meningkat. 

Gegaran kuat turut dirasai di beberapa negara jiran termasuk Thailand, Vietnam dan kawasan selatan China.

Perdana Menteri Thailand, Padangdan Shinawatra telah mengadakan mesyuarat kabinet khas bagi menyelaras gerak kerja bantuan dan kesiapsiagaan menghadapi impak susulan gempa.

Silimee dikenang sebagai bukan sahaja seorang ratu cantik tetapi juga ikon pelancongan yang berjaya mengangkat nama Myanmar di pentas antarabangsa. 

Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar buat negara dan seluruh komuniti seni serta pelancongan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram