
SEORANG lelaki Jerman yang berkunjung ke Madinah tidak dapat menahan air matanya ketika berada berhampiran Masjid Nabawi, salah satu tempat paling suci dalam Islam.
Menerusi sebuah video yang tular di media sosial, lelaki tersebut berkongsi perasaan mendalamnya terhadap suasana di Madinah, yang disifatkannya sebagai sesuatu yang istimewa dan suci.
Dia mengakui betapa tersentuh ketika berada di lokasi tersebut dan sukar untuk menahan tangisan.
"Saya betul-betul dapat merasakan kesucian di tempat ini. Ia adalah tempat yang sangat suci dan saya benar-benar dapat merasakannya. Saya rasa sangat beruntung dapat melihatnya," katanya.
Dia yang bukan beragama Islam itu turut membayangkan bagaimana perasaannya jika datang ke Madinah sebagai seorang Muslim.
"Seolah-olah rasanya jauh lebih kuat jika anda datang ke sini sebagai seorang Muslim daripada bagaimana saya rasakan sekarang," tambahnya lagi.
Melihat ratusan umat Islam menuju ke Masjid Nabawi dengan penuh kegembiraan menambahkan lagi rasa kagumnya terhadap keindahan suasana di Madinah.
Dalam perancangannya, dia ingin merakam lebih banyak kawasan di sekitar Madinah termasuk sebuah pasar bawah tanah yang besar, namun akhirnya membuat keputusan untuk tidak melakukannya.
Dia menyedari bahawa tempat itu terlalu suci dan perlu dihormati, lantas memilih untuk menikmati keindahan dan keistimewaan Madinah tanpa banyak rakaman.
"Saya berdebat dengan diri sendiri, sama ada mahu merakam lebih banyak atau tidak.
"Saya tahu ramai yang ingin melihat kawasan ini, terutamanya umat Islam di seluruh dunia yang tidak berpeluang ke sini. Tetapi saya juga berfikir bahawa tempat ini adalah tempat yang sangat suci. Saya tidak sepatutnya berjalan di sini dengan kamera dan merakam segalanya," jelasnya.
Lelaki tersebut juga menegaskan bahawa baginya, pengalaman di Madinah lebih penting daripada jumlah tontonan yang mungkin diperoleh di media sosial.
"Kadang-kadang, bukan semua tentang mendapatkan tontonan. Ia lebih kepada menghormati budaya, agama dan tempat ini," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram