
KEMENTERIAN Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak (PPPA) Indonesia melancarkan kempen satu jam keluarga tanpa gajet bagi menggalakkan ibu bapa mengurangkan masa melayari dalam talian dan melibatkan diri berinteraksi secara langsung bersama insan tersayang.
Kempen yang dilancarkan bersempena bulan Ramadan itu memberi peluang dan galakan kepada ibu bapa untuk meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak.
"Dengarkan dan hargai pendapat anak-anak anda. Perbanyakkan berbincang dengan mereka," kata Menterinya, Arifatul Choiri Fauzi.
BACA LAGI: AirAsia pindah semula penerbangan domestik dari Subang ke KLIA2 seminggu selepas Aidilfitri
BACA LAGI: [VIDEO] Tak puas hati kena tindakan, penguat kuasa DBKL digigit penjaja bazar Ramadan tanpa lesen
Arifatul menyeru ibu bapa untuk lebih banyak mendengar dan menghargai pendapat anak-anak. — ANTARA/ADIMAJA
Beliau menambah, lebih banyak masa dihabiskan untuk berinteraksi secara langsung dengan anak-anak adalah langkah penting dalam membantu golongan belia menangani masalah kesihatan mental.
Dalam pada itu, Menteri Kependudukan dan Pembangunan Keluarga, Wihaji berkata, kempen jam tanpa gajet itu juga dapat membantu menangani masalah kekurangan perhatian yang dihadapi oleh kalangan belia di negara itu pada masa ini.
"Jika masalah kekurangan komunikasi langsung ini berterusan, jangan salahkan anak-anak jika mereka memilih untuk meluangkan masa dengan telefon," katanya.
Kempen itu turut mendapat sokongan menteri lain termasuk Menteri Komunikasi dan Digital, Meutya Hafid; Menteri Koordinator Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Pratikno, serta Menteri Agama, Nasaruddin Umar.
Misalnya, Kementerian Komunikasi dan Digital akan memikirkan sama ada akan mengeluarkan peraturan untuk menetapkan umur minimum bagi pengguna media sosial, yang merupakan satu langkah bertujuan untuk melindungi kanak-kanak dalam ruang digital.
Meutya bagaimanapun tidak memberikan butiran berhubung perkara itu.
Menurut data Persatuan Penyedia Perkhidmatan Internet Indonesia, penembusan internet di negara yang dihuni kira-kira 280 juta penduduk itu mencapai 79.5 peratus tahun lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram