
PENUMPANG penerbangan United Airlines terpaksa berpindah menggunakan gelongsor kecemasan dan tangga selepas enjin pesawat mengalami masalah pada pagi Ahad.
Difahamkan, masalah itu mengakibatkan asap dan api muncul pada sayap kanan ketika berlepas di Lapangan Terbang George Bush Intercontinental (IAH), Houston, Texas, Amerika Syarikat.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata, penerbangan United Airlines 1382 yang menuju ke Lapangan Terbang LaGuardia, New York dihentikan di landasan sejurus selepas pukul 8.30 pagi.
BACA LAGI: [VIDEO] Iran perkenal dron terkuat diberi nama Gaza, mampu terbang sejauh 1,000km
"Semua 104 penumpang dan lima anak kapal berjaya dipindahkan dengan selamat dan dibawa semula ke terminal menggunakan bas.
"Pesawat menghentikan pelepasan selepas Airbus A319 menerima isyarat mengenai salah satu enjinnya," kata FAA dalam satu kenyataan yang dipetik oleh AP.
Dalam pada itu, rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan api dan kepulan asap keluar dari sayap ketika pesawat sedang memecut di landasan.
"Tolong, tolong, keluarkan kami dari sini," itulah rayuan yang didengari daripada mulut salah seorang penumpang dalam penerbangan itu.
United Airlines menyatakan bahawa penumpang berjaya keluar dan sebuah pesawat baharu disediakan untuk membawa mereka ke New York pada pukul 2 petang waktu tempatan.
"Pasukan Penyelamat Kebakaran Hartford–Brainard Airport sedang membantu di IAH selepas sebuah pesawat yang bersiap sedia untuk berlepas melaporkan masalah di landasan. HFD membantu pemindahan penumpang. Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini," tulis jabatan itu dalam hantaran di laman X.
Sementara itu, di Washington, DC, sebuah jet American Airlines yang membawa 60 penumpang dan empat anak kapal bertembung di udara dengan sebuah helikopter tentera yang mengorbankan semua yang berada di dalamnya.
Di Philadelphia, sebuah jet kecil terhempas di kawasan kejiranan sehingga mengakibatkan tujuh kematian. — AP
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram