[VIDEO] Tiba-tiba berundur, 68 penumpang cedera 2 trem bawah tanah bertembung di Paris


  • Benua
  • Isnin, 13 Jan 2025

Seramai 68 orang cedera selepas dua trem bawah tanah di Stesen Pusat Strasbourg, Paris bertembung pada Sabtu.

SERAMAI 68 orang cedera selepas dua trem bawah tanah di Stesen Pusat Strasbourg, Paris bertembung pada Sabtu.

Laporan awal menunjukkan salah satu trem berhenti secara tiba-tiba sebelum bertindak bergerak ke belakang menuruni lereng tanpa sebab yang jelas.

Situasi itu menyebabkan trem berkenaan bertembung dengan trem lain yang sedang berhenti.

BACA LAGI: [VIDEO] Pensyarah USM jadi kebanggaan 'kaki motor', hasilkan inovasi tayar kalis pancit, tidak bocor

BACA LAGI: Kemalangan jadi titik tolak budak JB ubah laluan hidup, kejayaan di UPM bawa nama ke Universiti Oxford

Seorang saksi, Johan memberitahu pemberita bahawa dia melihat salah satu trem bergerak ke belakang dengan pantas sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.

Seorang lagi saksi yang tidak mahu mendedahkan namanya pula menyatakan bahawa pintu trem tercampak akibat hentakan tersebut.

Datuk Bandar Strasbourg, Jeanne Barseghian melawat tempat kejadian dan menyifatkan insiden itu sebagai satu perlanggaran dahsyat.

Dalam satu rakaman yang tular, orang ramai dilihat menjerit ketakutan ketika asap memenuhi stesen bawah tanah sejurus selepas kedua-dua trem yang membawa 100 orang itu berlanggar.

Perkhidmatan Kebakaran dan Penyelamatan wilayah Bas-Rhin turut meminta orang ramai mengelak daripada memasuki kawasan tersebut bagi memberi ruang kepada pasukan kecemasan.

Pengarah Perkhidmatan Kebakaran dan Penyelamatan, Rene Cellier berkata, kebanyakan kecederaan yang dilaporkan adalah trauma ringan termasuk luka di kulit kepala, patah selangka dan kecederaan lutut.

Selain itu, sekitar 100 orang yang tidak mengalami kecederaan serius turut diberikan rawatan.

Beliau turut menyatakan bahawa sekitar 50 kenderaan dan 130 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian dan menambah bahawa keadaan itu berpotensi menjadi lebih buruk.

Pengarah CTS, Emmanuel Auneau yang menguruskan pengangkutan awam Strasbourg mengesahkan kedua-dua pemandu trem tidak mengalami kecederaan fizikal tetapi berada dalam keadaan trauma.

Pendakwa raya mengesahkan bahawa perlanggaran itu bukanlah perbuatan sengaja, bagaimanapun punca sebenar kejadian sedang disiasat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram