DI kawasan selatan Maghribi, wanita menjadi peneraju utama dalam mengekalkan seni tradisional menenun karpet.
Seni itu bukan sahaja mencerminkan warisan budaya, malah menjadi sumber pendapatan penting bagi mereka.
Seorang wanita, Ijja Benchri, yang berasal dari kampung Taznakht merupakan antara individu yang gigih memelihara tradisi tersebut.
Setiap hari, wanita berusia 60 tahun itu menenun karpet menggunakan alat tenunan kayu di hadapan rumahnya.
“Saya mula belajar menenun sejak usia 11 atau 12 tahun, sama seperti wanita lain. Ia kini menjadi kerja sepanjang hayat saya,” katanya.
Karpet tradisional Maghribi terkenal dengan corak geometri yang menarik dan warna-warna terang yang memukau.
Karpet itu, dinamakan Ait Ouaouzguite bersempena suku Amazigh tempatan yang merupakan salah satu kumpulan pribumi di Afrika Utara.
Wanita memproses bulu sementara yang lain menenun permaidani.
Setiap proses penghasilannya memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi.
Karpet itu biasanya dibuat daripada bulu biri-biri berkualiti tinggi dari kawasan Jbel Sirwa di selatan Pergunungan Atlas.
Pewarna semula jadi seperti inai, kulit delima dan nila digunakan untuk memberikan sentuhan warna yang unik.
Namun, pewarna industri kini lebih banyak digunakan kerana lebih murah dan cepat dihasilkan.
Ijja berkata, setiap karpet yang dihasilkan mencerminkan emosi dan perasaan penenun.
"Saya memilih warna berdasarkan perasaan saya pada waktu itu," katanya.
Mengulas lebih lanjut, Ketua Koperasi Wanita, Safia Imnoutres berkata, proses tenunan sering bersifat intuitif dan melambangkan luahan perasaan penenun.
Seni itu bukan sekadar tradisi tetapi juga warisan yang diperturunkan dari ibu kepada anak perempuan selama berabad-abad.
"Jika seni ini tidak terus dimartabatkan, kita berisiko kehilangan satu bahagian penting dalam budaya kita," kata Imnoutres.
Walaupun seni tenunan itu bernilai tinggi, pulangannya bagi penenun adalah kecil.
Setiap minggu, ramai wanita membawa karpet mereka ke pasar untuk dijual kepada perantara.
Harga jualan asal bagi sebuah karpet besar hanya sekitar RM107 (bersamaan 250 dirham Maghribi) tetapi di bandar-bandar besar seperti Marrakech, harga itu boleh meningkat sehingga 10 kali ganda.
Selain itu, persaingan dengan karpet buatan mesin yang lebih murah turut memberi tekanan kepada industri itu.
"Kami tidak mempunyai pilihan selain menerima harga yang ditetapkan perantara, walaupun kami bekerja keras untuk menghasilkan karpet ini," kata Ijja.
Bagi membantu penenun menjana pendapatan lebih baik, sebuah pusat pameran telah dibuka di Taznakht.
Pusat itu membolehkan wanita menjual karpet mereka secara terus kepada pembeli tanpa perlu melibatkan orang tengah.
Selain itu, penenun juga diberi latihan dalam pemasaran digital untuk memperluaskan pasaran mereka melalui platform dalam talian.
Langkah tersebut bertujuan untuk memastikan seni tenunan tradisional kekal relevan dan mampu memberikan pendapatan yang lebih baik kepada penenun.
Karpet tradisional Maghribi bukan sekadar produk seni tetapi juga lambang kecekalan wanita yang gigih mengekalkan warisan mereka.
Dengan sokongan berterusan, seni itu bukan sahaja dapat terus hidup tetapi juga membawa manfaat ekonomi yang lebih besar kepada komuniti setempat. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram