PUKULAN 'hole-in-one' dalam golf merupakan sesuatu yang sukar untuk dilakukan kerana pemain berstatus legenda dalam sukan tersebut juga berdepan kesukaran dalam mencatatkannya sepanjang karier masing-masing.
Jadi, tidak hairanlah apabila terdapat pelbagai cabaran diadakan di media sosial untuk mana-mana pemain berminat untuk melakukan pukulan berkenaan demi ganjaran berbaloi.
Baru-baru ini, seorang pemain golf profesional dari Amerika Syarikat, Bryson DeChambeau tampil mengadakan cabaran dengan tawaran hadiah bernilai $100,000 (RM450,000) sekiranya pukulan 'hole-in-one' dibuat dengan syarat bola perlu melepasi kediamannya.
Bryson merupakan seorang pemain golf yang dikenali di Amerika Syarikat. — Agensi
Cabaran itu dibuat selepas pemain berkenaan mengambil masa 16 hari untuk menjayakan usahanya terbabit dengan sebanyak 134 pukulan diperlukan, sekali gus membuktikan perkara terbabit agak mustahil untuk dicapai.
Jadi, dalam satu video dimuat naik di Instagram peribadinya, Bryson menawarkan ganjaran tersebut kepada seorang peminatnya, Jimmy Elliott yang seperti juga pemain golf amatur melihat kepada gaya pukulannya.
Bryson pada awalnya memberikan tempoh tujuh jam kepada peminat berkenaan untuk mengulangi kejayaan dicetaknya tanpa mengira jumlah pukulan diambil bagi memastikan bola masuk ke dalam lubang.
Namun, apa yang mengejutkan adalah apabila Elliott hanya memerlukan lima pukulan untuk berbuat demikian yang membuatkan pemain Amerika Syarikat berusia 31 tahun itu kagum dan tercengang.
Berdasarkan rakaman, peminat sukan golf itu kelihatan tenang dalam memastikan bola pukulannya melepasi kediaman Bryson sebelum ia melantun beberapa kali dan memasuki lubang di laman belakang rumah.
Kagum akan kebolehannya, Bryson bersama Elliott kemudian meloncat keriangan meskipun pemain profesional itu tahu dia akan mengalami kerugian kerana perlu mengeluarkan sejumlah wang seperti mana ditawarkan.
Video itu kemudiannya tular dalam kalangan komuniti peminat sukan golf sehingga ada yang mengusik bahawa pemain amatur tersebut mampu melangkah ke tahap lebih tinggi berbanding Bryson jika menerima latihan secukupnya.
Tetapi, masih ada yang tampil beranggapan cabaran itu tidak menjatuhkan status serta reputasi Bryson yang pernah menjuarai dua gelaran Terbuka Amerika Syarikat dengan ia meletakkannya di kedudukan keempat dalam kalangan pemain dunia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram