LELAKI berusia 20 tahun ditahan selepas bertindak kejam dengan memukul kepala rakan sekerjanya sehingga disahkan maut di wilayah Ayacucho, Peru, Amerika Selatan.
Kejadian yang dipercayai berlaku pada 2022 itu kembali menjadi perhatian masyarakat selepas rakaman video insiden dimuat naik semula di media sosial pada Rabu.
Pada awalnya, mangsa, Abraham Lucano Huarcaya, 41, dan suspek, Rafael Vilcatoma Arone sedang menjalankan kerja-kerja pengiraan serta pelabelan tong gas.
Secara tiba-tiba, sewaktu Abraham membongkokkan badan, Rafael bertindak memukul kepala mangsa berkali-kali menggunakan tong gas sehinggakan tidak sedarkan diri.
Tidak cukup berbuat sedemikian, Rafael juga memukul muka mangsa dengan menggunakan tong gas sehingga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Selepas melakukan perbuatan kejam itu, Rafael melarikan diri untuk mengelak ditangkap.
Namun, usaha pihak berkuasa berjaya apabila Rafael ditemui bersembunyi di bawah tangga di kediamannya.
Polis Peru memaklumkan bahawa Rafael tinggal bersama dua adik perempuannya yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan individu di bawah jagaannya itu.
Ketika disoal siasat, Rafael mengaku melakukan jenayah itu kerana menganggap dirinya sebagai ‘Chucky’, watak anak patung jahat dalam filem seram Hollywood terkenal.
Walau bagaimanapun, hasil pemeriksaan perubatan terhadap suspek tidak memberikan jawapan yang jelas mengenai keadaan mentalnya.
Rafael kemudiannya dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram