SEORANG lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu hilang kawalan dan melanggar tiang lampu melibatkan empat kenderaan di Kilometer 12.1 Jalan Permas, Pasir Gudang, Johor pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan pada pukul 2.17 petang itu melibatkan MPV Toyota Unser, kereta Mercedes-Benz S500 serta dua lori jenis UD dan Scania.
BACA LAGI: [VIDEO] Tayar treler tercabut punca nahas ragut 7 nyawa termasuk kanak-kanak di Lebuhraya PLUS
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu Toyota Unser memandu dari arah Tanjung Langsat menghala ke Johor Bahru hilang kawalan ketika sampai ke lokasi.
“MPV berkenaan telah melanggar tiang lampu yang berada di tengah jalan lalu masuk ke laluan bertentangan hingga terlanggar bahagian belakang Mercedes-Benz S500 dipandu seorang lelaki warga China," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pada masa sama datang lori UD tersebut dari arah bertentangan dan tidak sempat mengelak tiang lampu yang tumbang atas jalan raya dan turut melanggar belakang Mercedes-Benz S500.
Tidak lama selepas itu, datang pula lori Scania dan turut terlanggar tiang lampu berkenaan.
Menurutnya, pelanggaran itu mengakibatkan pemandu Toyota Unser yang berusia 34 tahun mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala, pemandu Mercedes-Benz S500 itu pula mengalami cedera ringan. Difahamkan, semua pemandu telah hadir di balai polis memberi keterangan.
Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram