[VIDEO] Kumpulan penentang kerajaan Syria gali jenazah, bakar makam bapa Bashar Al-Assad


  • Benua
  • Khamis, 12 Dis 2024

Keranda Hafez Al-Assad dikorek sebelum dibakar kumpulan pemberontak di negara Timur Tengah itu. — Agensi

GERAKAN penentangan di Syria diteruskan memasuki minggu kedua selepas berjaya menggulingkan kerajaan pimpinan Bashar Al-Assad yang sudah berkuasa di negara itu selama 24 tahun.

Sepanjang pemerintahannya, negara Asia Barat tersebut berdepan krisis kemanusiaan yang cukup menyentuh hati dengan kebajikan penduduk tidak diberi perhatian.

Selain itu, orang ramai berdepan seksaan apabila mana-mana individu yang cuba mempertikaikan kekuasaannya akan dikenakan hukuman berat seperti penahanan di dalam penjara tanpa alasan munasabah.

BACA LAGI: Bashar al-Assad lari tinggalkan Syria, dapat perlindungan suaka di Rusia

BACA LAGI: Tentera Iran, Rusia mula tinggalkan Syria, Bashar Al-Assad terpaksa bertahan di Damsyik

Syrian opposition fighters celebrate the fall of the Syrian government, in Damascus, Syria, Sunday, Dec. 8, 2024. (AP Photo/Omar Sanadiki)

Kumpulan pemberontak di Syria berjaya menggulingkan kerajaan Bashar Al-Assad selepas bertahun-tahun mencuba. — Agensi

Jadi, setelah bertahun-tahun hidup dalam penderitaan, gerakan pemberontakan bertindak menggulingkan kerajaan Bashar dengan usaha berkenaan membuahkan hasil pada awal Disember lalu.

Kejayaan tersebut menerima perhatian media antarabangsa yang terkejut dengan kejatuhan pemerintahan Presiden ke-18 Syria itu memandangkan dia pernah mematahkan beberapa percubaan sebelum ini.

Dalam meraikan kejayaan itu, gerakan penentang yang diketuai kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) bertindak memadam legasi ditinggalkan dinasti pemerintahan keluarga Al-Assad.

Ini termasuk membakar dan menconteng poster Bashar serta bapanya, Hafez yang juga merupakan bekas Presiden Syria terutamanya di ibu negara, Damascus.

Malah, baru-baru ini, tular satu video menunjukkan kumpulan berkenaan bertindak membakar makam Hafez di Qardaha, Latakia sebagai tanda protes terhadap kekejaman mereka sebelum ini.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga klip memaparkan mereka mengorek semula keranda jenazah yang meninggal dunia pada 2000 sebelum menyalakan api marak terhadapnya.

Tindakan HTS itu dibuat bersama sebuah gerakan Sunni lain, Free Syrian Army yang pernah berdepan penindasan teruk daripada kerajaan Hafez selama bertahun-tahun.

Kebakaran itu disaksikan penduduk sekitar, termasuk dari golongan remaja dengan kedengaran masing-masing melaungkan kegembiraan mereka sambil menyaksikan api marak di makam berkenaan.

Meskipun tindakan sedemikian menerima tentangan di peringkat antarabangsa, kekejaman dihadapi warga Syria ketika cengkaman kuku besi Hafez dan Bashar menyebabkan mereka mengambil keputusan itu.

Ketika ini, laporan mengatakan bekas Presiden Syria tersebut sudah melarikan diri ke Rusia untuk berlindung, namun terdapat juga ura-ura mengatakan ahli politik berusia 59 tahun itu sudah meninggal dunia selepas pesawat dinaikinya terhempas.

Perkara itu bagaimanapun masih belum disahkan dengan keadaan di Syria terus bergolak dengan tentera kerajaan masih cuba menghapuskan kumpulan penentang di beberapa wilayah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram