[VIDEO] Rakyat AS rasa macam kiamat harungi badai Taufan Helene


  • Benua
  • Jumaat, 04 Okt 2024

Lebih 200 orang maut dalam Taufan Helene yang membadai sekitar Amerika Syarikat pada Khamis.

SELEPAS lebih 200 orang disahkan maut, pasukan penyelamat meneruskan usaha pencarian mangsa yang masih terselamat dalam Taufan Helene yang membadai beberapa negeri tenggara di Amerika Syarikat (AS).

Beratus-ratus orang masih hilang dan 780,000 rumah terputus bekalan elektrik hampir seminggu selepas Taufan Helene melanda sekitar kawasan utara dan selatan Carolina, Georgia, Florida, Tennessee dan Virginia.

Helene disifatkan sebagai taufan kedua paling 'mematikan' yang melanda AS dalam tempoh lebih setengah abad.

BACA LAGI: Tubuh pendaki solo wanita Malaysia terasa 'shut down', sesak nafas sebelum tawan puncak Everest Base Camp

BACA LAGI: Retak tulang belakang tak halang anak jati Johor tawan puncak ABC, sedang buat persiapan menuju EBC

Presiden AS, Joe Biden meneruskan lawatan dua harinya ke kawasan Florida dan Georgia pada Khamis.

Biden menerima maklumat menerusi tinjauan udara mengenai kerosakan di Tallahassee, Florida dan bertemu dengan pemimpin negeri serta tempatan untuk membincangkan usaha tindak balas yang sedang dijalankan.

"Saya melihat, mendengar, bersedih dan berjanji sentiasa berada di belakang anda.

"Kami ada di sini sehingga anda berasa sudah pulih," kata Joe Biden.

Joe Biden telah meluluskan bantuan bencana persekutuan untuk mangsa yang terselamat di Florida, Georgia, Carolina Utara, Carolina Selatan dan Virginia.

Taufan itu mencetuskan kes ribut paling teruk sehinggakan berpuluh-puluh ribu penduduk terputus bekalan air di North Carolina, terutama di kawasan pergunungan Asheville.

"Saya rasa macam baru sahaja terselamat daripada kiamat," kata seorang penduduk, Nicole Rojas yang tinggal di Vilas, North Caroline.

Pasangan warga emas, Jerry dan Marcia Savage meninggal dunia di atas katil dalam keadaan berpelukan apabila sebatang pokok tumbang di rumah mereka di Carolina Selatan.

Beratus-ratus jalan masih ditutup, menghalang usaha untuk menghantar bantuan kepada komuniti yang terjejas teruk.

Rakyat juga bertindak membantu untuk mengagih bantuan dalam pelbagai cara termasuk menggunakan helikopter, keldai dan kuda. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram