PASTI rata-rata umum meminati pulut kuning kan? Pulut kuning yang dibahaskan ini bukan adalah untuk disantap pada hari biasa tapi hidangan khas untuk majlis tertentu, perubatan dan berkait dengan amalan mistik serta perbomohan.
Bukan kata zaman dahulu saja mengamalkan upacara 'pulut kuning', kini kalau kita lihat masih ramai yang menggunakan kaedah itu dalam perubatan tradisional terutamanya di kampung-kampung.
Namun kepada mereka yang mengamalkan amalan itu pasti tidak pernah memeriksa dari mana asalnya 'pulut kuning' dan mengapa santapan itu biasanya digunakan?
BACA LAGI: [VIDEO] Ustaz Syamsul Debat kongsi 5 amalan 'power' elak terkena pukau
Menerusi perkongsian di Facebook, The Patriots Studios, topik “Kenapa Pulut Kuning Dikaitkan Dengan Pemujaan?” menjelaskan 'pulut kuning' menjadi pilihan adalah kerana dahulunya, ia adalah hidangan istimewa yang jarang dimakan setiap hari.
Maka dalam ritual perbomohan atau rawatan, ia menjadi simbol yang menguatkan proses itu, menurutnya.
"Pulut kuning merupakan komponen penting dalam ritual perbomohan yang kononnya memainkan peranan sebagai medium untuk berkomunikasi dengan roh.
"Dikatakan bahawa memberi pulut kuning bersama telur dan ayam panggang kepada roh dapat membantu bomoh mencapai hajatnya.
"Selain itu, pulut kuning juga disediakan untuk orang yang sembuh dari penyakit yang disebabkan oleh ilmu hitam kerana dianggap dapat mengusir roh jahat," memetik The Patriots Studios.
Dikatakan bahawa memberi pulut kuning bersama telur dan ayam panggang kepada roh dapat membantu bomoh mencapai hajatnya. — Media sosial
Mengupas lanjut berkenaan pulut kuning yang dianggap sebagai upacara mistik, penulisan oleh Farahi Kamaruddin ada menjelaskan dalam tarian ulek mayang, pulut kuning digunakan untuk menghalau semangat jahat yang mungkin mengganggu pertunjukan.
"Ia juga sering dipersembahkan di makam atau kubur individu yang dianggap keramat bagi menjadi tempat untuk meminta hajat.
"Ciri pulut yang melekit dan saling mengikat menjadikannya simbol penguat dalam upacara. Oleh itu, dalam beberapa majlis, pulut kuning dikenali sebagai ‘nasi semangat’ atau ‘pulut semangat’.
Katanya, amalan-amalan sebegitu jelas merupakan khurafat yang boleh menjejaskan akidah.
Namun, hingga kini, pulut kuning tetap relevan dalam majlis penting seperti perkahwinan, khatam al-Quran dan majlis berkhatan, kongsinya.
"Dalam kenduri kahwin, pulut kuning dan telur menjadi hantaran utama yang melambangkan ‘pengikat kasih’ antara pasangan.
"Ia bukan sahaja simbol kasih sayang, tetapi juga menghubungkan dua keluarga sebagai saudara yang akrab.
"Kini, pulut kuning boleh didapati hampir setiap hari dan tidak hanya terhad kepada majlis tertentu.
"Walaupun masih ada kaitan dengan ritual, ia tidak lagi dihubungkan dengan ilmu hitam atau pemujaan, tetapi lebih kepada tanda kesyukuran dan ikatan persaudaraan dalam masyarakat Melayu," kata Farahi Kamaruddin.
Berdasarkan perkongsian itu, kesemua faktor itu dapat kita rangkumkan bahawa mungkin itulah alasan mengapa 'pulut kuning' menjadi pilihan dalam pelbagai majlis dan acara di kalangan masyarakat Melayu.
Hidangan pulut kuning bukan sahaja dihidangkan bagi tujuan perubatan tradisional, malah di majlis khatam al-Quran, tahlil, akikah dan cukur jambul. — Media sosial
Dalam pada itu, menerusi perkongsian video ceramah Ustaz Azhar Idrus bagaimana pun mendakwa dalam perubatan tradisional oleh bomoh tidak semestinya salah, namun cara mereka kadang kalanya boleh menjadi tidak tepat dalam Islam.
Menurutnya, perkara yang perlu dititikberatkan dalam kaedah perubatan itu adalah cara merawat yang halal dan haram.
"Antara penipuan yang sering berlaku adalah dengan memberi makanan kepada jin atau mambang dan ada yang percaya jin perlu makan pulut kuning.
"Jin berada di alam ghaib dan kita tidak dapat memastikan apa yang mereka makan.
"Dalam hadis, disebutkan bahawa jin boleh memakan sesuatu yang najis seperti asap atau tulang binatang yang tidak disembelih.
"Sebenarnya, jika jin itu Islam, mereka tidak sepatutnya memakan najis. Jadi, apabila ada yang mengatakan jin memerlukan pulut kuning' atau telur, itu boleh dianggap sebagai pembohongan.
Beliau menekankan dalam sejarah Islam, sahabat Nabi juga pernah bertanya tentang ilmu pengubatan dan jika tidak bertentangan dengan ajaran Islam, maka mereka dibenarkan meneruskan amalan tersebut.
Katanya tidak semua perubatan yang berjumpa bomoh adalah haram, tetapi diingatkan perlu berhati-hati dalam memilih cara merawat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram