Risalah 'barcode' bahaya milik Israel bertebaran di Lubnan — Hezbollah


  • Benua
  • Selasa, 24 Sep 2024

Israel menjatuhkan risalah dengan kod bar yang sangat berbahaya ke Lembah Bekaa timur Lubnan pada Selasa.

ISRAEL menggugurkan risalah dengan kod bar yang sangat berbahaya ke Lembah Bekaa timur Lubnan pada Selasa, menurut laporan media Hezbollah.

Hezbollah turut memberi amaran bahawa jika mengimbas kod tersebut dengan menggunakan telefon boleh menyebabkan semua maklumat diambil daripada mana-mana peranti.

Bagaimanapun, tiada sebarang komen yang diberikan daripada pihak rejim Zionis.

BACA LAGI: [VIDEO] Angka korban serangan udara Israel di Lubnan meningkat

BACA LAGI: [VIDEO] Israel dilapor sedia serang Lubnan

Israel dipercayai menggugurkan risalah tersebut selepas melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Lubnan sebagai membalas serangan roket Hezbollah pada hujung minggu lalu.

Risalah berbahaya itu berkemungkinan taktik propaganda Israel untuk melemahkan semangat pejuang Hezbollah selepas tentera rejim didakwa mendalangi serangan letupan alat kelui dan walkie talkie sebelum ini.

Pada Isnin, tentera Zionis mendakwa bahawa mereka menyerang lebih 1,100 sasaran Hezbollah di kawasan selatan dan timur Lubnan dalam tempoh 24 jam.

Lebih 1,400 jenis peluru digunakan tentera Israel dalam 650 serangan udara melalui jet pejuang mereka di Lubnan.

Pada Selasa, pihak berkuasa Lubnan berkata, kematian akibat serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut meningkat kepada 38 orang, termasuk tiga kanak-kanak dan tujuh wanita.

Terkini, pegawai keselamatan Syria berkata, kira-kira 500 orang dari Lubnan telah menyeberang ke Syria susulan serangan rejim.

"Kira-kira 500 orang menyeberangi sempadan melalui persimpangan Qusayr dan Dabousiya antara 4 petang waktu Lubnan (sekitar pukul 9 malam, waktu Malaysia).

“Kenderaan masih melintas pada awal pagi, dengan orang ramai menuju ke rumah rakan dan kenalan di kawasan luar bandar Homs dan di bandar Homs,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram