TIGA individu terkorban dan lebih daripada 10,000 penduduk terpaksa dipindahkan akibat banjir besar yang berlaku di tengah Vietnam, kata pegawai bencana pada Selasa.
Pada awal September, utara Vietnam mengalami banjir teruk akibat Taufan Yagi yang mengakibatkan hampir 300 kematian dan kerosakan bernilai AS$1.6 bilion (RM4.96 bilion).
Bagaimanapun, ketika banjir di utara mulai surut, kawasan tengah Vietnam pula dilanda ribut yang teruk sejak minggu lepas yang membawa hujan lebat dan meningkatkan paras sungai ke tahap berbahaya.
BACA LAGI: 'Ratu contest' gemar doodle di malam hari, anggap lukisan terapi kesihatan mental
Pada Selasa, pegawai pengurusan bencana di Thanh Hoa melaporkan bahawa lebih dari 11,700 orang berpindah dari rumah mereka yang ditenggelami air untuk ke tempat yang lebih tinggi.
Manakala, sebanyak tiga individu dilaporkan meninggal dunia selepas hanyut akibat banjir kilat di Nghe An, Vietnam.
Menurut Kementerian Pertanian, kira-kira 320 rumah mengalami kerosakan dan lebih daripada 6,300 hektar tanaman musnah sejak Sabtu.
Tambahnya, kira-kira 40 bangunan sekolah di kawasan tersebut mengalami kerosakan akibat banjir.
Data daripada Save the Children pula mendedahkan bahawa hampir 1,000 sekolah di seluruh Vietnam dan Thailand telah mengalami kerosakan sejak awal September sehingga menyebabkan kanak-kanak tidak dapat meneruskan sesi persekolahan.
Di Hanoi, beberapa rumah di pinggir ibu kota masih terjejas akibat banjir selepas Taufan Yagi membadai kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, para petani di kawasan berkenaan menuai hasil pertanian mereka lebih awal dari kebiasaan yang sering dibuat sebagai usaha untuk menyelamatkan tanaman yang masih ada.
"Kami kehilangan hampir semua tanaman kami. Kami menuai padi hari ini dengan harapan dapat menyelamatkan sebanyak mungkin," kata petani, Dinh Thi Thu yang berusia 60 tahun.
Untuk rekod, Vietnam sering dilanda ribut tropika yang membawa kepada banjir kilat dan kejadian tanah runtuh terutama antara Jun dan November pada setiap tahun.
Bagaimanapun, perubahan iklim yang mendorong pola cuaca menjadi lebih ekstrem mengakibatkan banjir besar lebih kerap berlaku. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram