Minta 10 tiket Green Room tonton F1, bekas Menteri Pengangkutan Singapura mengaku salah pecah amanah, berdepan hukuman penjara 7 bulan


  • Benua
  • Selasa, 24 Sep 2024

Iswaran menjawat jawatan menteri di Singapura selama 12 tahun. — Agensi

BEKAS Menteri Pengangkutan Singapuran, S Iswaran mengaku bersalah pada hari pertama perbicaraannya pada Selasa melibatkan kes pecah amanah.

Iswaran, 62, disabitkan lima pertuduhan dengan pihak pendakwaan memohon hukuman penjara enam hingga tujuh bulan.

Empat daripada pertuduhan adalah penerimaan barangan berharga daripada penganjur perlumbaan Formula Satu (F1) iaitu Pengerusi GP Singapura, Ong Beng Seng dan David Lum yang merupakan pengarah urusan syarikat pembinaan Lum Chang Holdings.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Iswaran turut mengaku bersalah bagi satu pertuduhan menghalang proses keadilan.

Tuduhan itu melibatkan tindakan membayar S$5,000 (RM16,186.167) kepada GP Singapura untuk kos penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura yang diambilnya pada 11 Disember 2022, atas perbelanjaan Ong melalui syarikat terbabit.

Iswaran telah membayar semula $380,000 (RM1.2 juta) kepada Singapura manakala barangan yang diterimanya turut dirampas.

Ketika perbicaraan mahkamah bermula pada pukul 10 pagi, peguam Kanan Iswaran, Davinder Singh berkata: "Anak guam saya akan mengambil tindakan tertentu, memandangkan fakta bahawa pihak pendakwaan tidak lagi meneruskan pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah."

Kira-kira pada pukul 10.05 pagi, mahkamah ditangguhkan untuk pertuduhan pindaan dibacakan kepada Iswaran sebelum pengakuan dibuat.

Ketika mahkamah bersidang semula kira-kira pukul 10.40 pagi, Iswaran diminta berdiri.

Dia memberitahu mahkamah: "Yang Berhormat, saya mengaku bersalah."

Timbalan Peguam Negara Tai Wei Shyong kemudian membacakan kenyataan fakta.

Beliau berkata, pada 6 Disember 2022, Ong bertanya kepada Iswaran sama ada dia mahu ikut serta dalam perjalanan ke Qatar.

Red Bull Racing's Dutch driver Max Verstappen drives during the qualifying session ahead of the Formula One Singapore Grand Prix night race at the Marina Bay Street Circuit in Singapore on October 1, 2022. (Photo by Lillian SUWANRUMPHA / AFP)

Iswaran turut dituduh meminta 10 tiket bilik khas acara F1 Singapura pada 2017 dan memberinya kepada rakan dan keluarganya. — Agensi

Ong memberitahu Iswaran dia akan menaiki jet peribadinya, dan bekas menteri itu boleh pergi sebagai tetamunya.

Ong menambah beliau akan menguruskan semua perbelanjaan Iswaran, termasuk penginapan hotel.

Iswaran menerima pelawaan itu, dan segera memohon cuti peribadi.

Iswaran memberitahu Ong dia perlu kembali ke Singapura selewat-lewatnya pada 11 Disember 2022, dan Ong mengatur supaya dia kembali ke Singapura dengan penerbangan komersial.

Iswaran pergi ke Doha menaiki jet peribadi, dan penerbangan itu bernilai sekitar $10,000 (RM32,370.831), kata pendakwa raya.

Apabila tiba di Doha, Iswaran mendaftar masuk ke Hotel Four Seasons, dan nilai penginapan satu malam di hotel berkenaan melebihi $4,000 (RM12,948).

Penginapan hotelnya telah dibayar oleh GP Singapura atas arahan Ong.

Mahkamah mendengar bahawa dalam salah satu pertuduhan Seksyen 165, Iswaran memaklumkan timbalan pengerusi GP Singapura Colin Syn bahawa dia memerlukan 10 tiket untuk bilik khas atau 'Green Room' bagi F1 Singapura pada 2017.

Pendakwa raya berkata, bilik khas itu menawarkan pengalaman premium untuk menikmati perlumbaan dengan harga setiap satu tiket bernilai lebih $4,000 (RM12,948).

Iswaran kemudian memberikan tiket terbabit kepada rakan dan keluarganya untuk menghadiri F1 tanpa membayar tiket.

Dia juga tidak mengisytiharkan kepada Kerajaan bahawa dia memperoleh 10 tiket berkenaan.

Dalam hujahannya, pendakwa raya berkata, tindakan Iswaran memberi kesan besar kepada reputasi Kerajaan kerana beliau menjadi menteri selama 12 tahun.

"Hakikat bahawa beliau adalah seorang menteri kanan dan kedudukan sedemikian akan meningkatkan kesan kelakuan tertuduh," kata pendakwa.

Iswaran pada asalnya menolak pertuduhan dan dakwaan dibuat terhadapnya dan menegaskan beliau tidak bersalah.

Dalam satu kenyataan selepas beliau pertama kali didakwa pada 18 Januari lalu, Iswaran berkata: "Saya tidak bersalah dan kini akan memberi tumpuan untuk membersihkan nama saya."

Pada Selasa, Iswaran tiba di Mahkamah Tinggi kira-kira pukul 9.25 pagi.

Orang ramai telah beratur seawal pukul 5 pagi di luar mahkamah untuk menyaksikan perbicaraan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram