MALAYSIA dan Singapura akan melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai 29 November 2021.
Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong yang dikeluarkan, selepas kedua-dua pemimpin berbincang melalui panggilan telefon pada Isnin.
Di bawah VTL, pelancong yang lengkap divaksin boleh membuat perjalanan antara Malaysia dan Singapura dan tidak perlu jalani kuarantin atau Notis Duduk Rumah (SHN) jika melepasi ujian Covid-19.
Kedua-dua Perdana Menteri juga berharap dapat memulihkan perjalanan merentasi laluan darat dalam masa terdekat.
Mereka berpuas hati melihat kemajuan baik yang dicapai dalam perbincangan terperinci yang berterusan mengenai skim yang sama dalam usaha membuka semula laluan merentasi Tambak dan Link Kedua, dengan mengambil kira situasi kesihatan awam di Johor dan Singapura.
Dalam kenyataan itu, Ismail Sabri berkata, VTL merupakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama Malaysia-Singapura yang telah lama terjalin.
VTL akan membolehkan perjalanan apabila kedua-dua negara membuka semula sempadan mereka secara beransur-ansur dengan mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi, di samping memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat mereka daripada Covid-19.
Sementara itu, Lee berkata: “Saya mengharapkan pelaksanaan yang berkesan menerusi skim perjalanan ini, menambah kepada apa yang telah kita bangunkan sebelum ini untuk memudahkan pergerakan rakyat dan barangan antara Malaysia dan Singapura.
“Saya sangat gembira kerana kedua-dua negara kita akhirnya dapat memulakan kembali perjalanan rentas sempadan melalui VTL. Ini akan membantu memulihkan ekonomi kita, memulihkan hubungan antara rakyat, dan mengukuhkan hubungan dua hala kita,” tambahnya.
Dalam pada itu, sidang media maya Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Mengenai Covid-19 yang diadakan di Singapura memberi butiran lanjut mengenai VTL antara KLIA dan lapangan terbang Changi.
Menteri Pengangkutan S Iswaran memberitahu wartawan, VTL akan dimulakan dengan enam penerbangan yang ditetapkan setiap hari antara kedua-dua lapangan terbang.
Untuk memasuki Singapura, Iswaran berkata, pengembara perlu menunjukkan keputusan negatif ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) atau keputusan Ujian Pantas Antigen (ART) yang dibuat secara profesional dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas dan perlu menjalani ujian PCR semasa ketibaan.
Permohonan untuk VTL dengan Malaysia akan dibuka pada 22 November, kata menteri itu, dan menambah kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura akan memberikan butiran lanjut apabila tarikh pembukaan itu semakin hampir.
“Sebelum Covid, laluan udara antarabangsa Kuala Lumpur-Singapura adalah yang paling sibuk di dunia, dengan kira-kira 40 penerbangan setiap hari dan purata ketibaan 7,000 orang sehari di Lapangan Terbang Changi,” kata Iswaran.
Pasukan Petugas juga telah mengemaskini penilaian kesihatan awamnya dan Malaysia akan berada dalam Kategori II mulai 12 Nov, oleh itu “ia tepat pada masanya dan membolehkan kami mewujudkan skim VTL dengan Malaysia,” kata Iswaran.
Iswaran berkata, Singapura pada masa ini telah memperuntukkan kuota harian 4,000 pengembara untuk menampung ketibaan dari 13 negara yang mempunyai skim VTL dengannya setakat ini.
Republik itu akan meningkatkan angkanya kepada 6,000 orang apabila ia melancarkan VTL dengan tiga negara lain termasuk Malaysia.
Kepada soalan sama ada peraturan perjalanan lain dengan Malaysia seperti Peraturan Ulang-alik Berkala (PCA) akan diteruskan apabila VTL dibuka, Iswaran berkata: "Pada asasnya VTL adalah tambahan kepada semua peraturan perjalanan sedia ada.
“Ia dibuat bagi memudahkan perjalanan bebas kuarantin dua hala tanpa mengira tujuan perjalanan. Jadi, ia adalah tambahan, bukan sebagai ganti kepada peraturan sedia ada,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram