Singapura henti pendaftaran kereta, teksi guna diesel bermula 2025


  • Benua
  • Rabu, 10 Jul 2024

Sehingga Mei lalu, kira-kira 17 peratus daripada semua kenderaan di Singapura menggunakan diesel. — Agensi

SINGAPURA tidak lagi akan menerima pendaftaran bagi kereta dan teksi diesel bermula pada 1 Januari 2025.

Langkah itu merupakan sebahagian inisiatif kerajaan republik itu bagi memastikan semua kenderaan di negara berkenaan dikuasakan dengan tenaga lestari menjelang 2040.

Dasar untuk menghapuskan kenderaan menyumbang kepada pencemaran itu diumumkan di Parlimen Singapura tiga tahun lalu semasa perbahasan mengenai rancangan kelestarian alam sekitar Kerajaan pada Mac 2021.

Sejak itu, bahagian pendaftaran kereta diesel dan teksi baharu kekal di berada di bawah 1 peratus secara keseluruhan, memandangkan ketersediaan alternatif lebih bersih, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Rabu.

Larangan pendaftaran ke atas kereta dan teksi diesel baharu itu akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum dasar seterusnya dijalankan yang akan menetapkan keperluan untuk semua kereta dan teksi bagi memenuhi model tenaga bersih mulai 2030.

Walaupun pemilik kereta diesel yang didaftarkan sebelum 1 Januari 2025 akan dapat memperbaharui Sijil Kelayakan (COE) mereka selepas tarikh akhir 2025, mereka akan dikenakan cukai jalan lebih tinggi untuk tidak menggalakkan pembaharuan, kata LTA.

Ini adalah sebahagian daripada polisi sedia ada untuk mengenakan surcaj cukai jalan sebanyak 10 peratus hingga 50 peratus bagi kenderaan berumur lebih daripada 10 tahun, bergantung kepada umur kenderaan.

Bagaimanapun, LTA juga berkata, sekatan ke atas pendaftaran kereta diesel baharu tidak akan terpakai kepada kenderaan import dan pendaftaran kereta di bawah skim Kenderaan Klasik dan Kenderaan Vintage.

Di bawah skim tersebut, kenderaan klasik mestilah berumur sekurang-kurangnya 35 tahun dari tarikh pendaftaran asalnya dan memenuhi keperluan pendaftaran dan teknikal tertentu.

EV2022

Langkah terbaharu kerajaan Singapura itu merupakan sebahagian inisiatif kerajaan republik itu bagi memastikan semua kenderaan di negara berkenaan dikuasakan dengan tenaga lestari menjelang 2040. — Agensi

Sementara itu, kenderaan vintaj adalah kereta, motosikal atau skuter yang dipelihara dengan baik, kaya dengan warisan yang telah dikeluarkan sebelum Januari 1940.

Setakat Mei 2024, terdapat 19,972 kereta dan teksi yang menggunakan diesel melalui jalan raya Singapura.

Jumlah itu membentuk minoriti kecil daripada 164,759 kenderaan diesel di Singapura yang sebahagian besarnya adalah kenderaan barangan dan bas.

Sehingga Mei lalu, kira-kira 17 peratus daripada semua kenderaan di Singapura menggunakan diesel.

Bagi kumpulan kereta penumpang, model diesel tulen membentuk kira-kira 2.7 peratus daripada keseluruhan 650,001.

Walaupun teksi digunakan kebanyakannya menggunakan diesel, majoriti besar telah beralih kepada model hibrid petrol-elektrik atau elektrik sepenuhnya.

Setakat Mei lalu, kira-kira 16.8 peratus daripada 13,330 teksi di Singapura masih menggunakan kuasa diesel.

Pada masa sama, usaha sudah dilakukan untuk menggalakkan pemilik kenderaan komersial beralih daripada diesel dan kepada bahan api lebih bersih melalui inisiatif seperti Early Turnover Scheme (ETS) dan Skim Pelepasan Kenderaan Komersial (CVES).

Di bawah ETS, pemilik kenderaan komersial lama boleh bertukar kepada kenderaan baharu dengan pelepasan lebih bersih dengan membayar kadar COE pada harga diskaun.

photo1720603034

Peralihan ke arah kenderaan tenaga hijau di Singapura turut melibatkan kenderaan pengangkutan awam. — Agensi

Sementara itu, di bawah CVES, pemilik kenderaan barangan ringan diberi insentif tunai jika mereka memilih model yang lebih bersih, terutamanya elektrik.

Sehingga Mei, 88.6 peratus daripada 143,565 kenderaan barangan di Singapura adalah menggunakan diesel, peningkatan daripada 95.8 peratus berbanding pada akhir 2020.

Bagi bas, 97.4 peratus daripada 18,007 yang didaftarkan di republik itu dikuasakan oleh diesel.

LTA memberi jaminan untuk hanya membeli bas awam menggunakan tenaga lebih bersih, dan menggantikan separuh daripada kenderaan pengangkutannya yang terdiri daripada hampir 6,000 bas awam yang kebanyakannya dikuasakan diesel dengan bas menggunakan tenaga elektrik menjelang 2030.

Beberapa pengendali bas persendirian juga telah beralih kepada model bas elektrik sepenuhnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, yang merupakan menteri pengangkutan pada 2021, memberitahu Parlimen pada masa itu bahawa kenderaan bermotor di Singapura mengeluarkan kira-kira 6.4 juta tan karbon dioksida (CO2) setiap tahun.

Sekiranya semua kenderaan ringan - termasuk kereta dan teksi - menggunakan elektrik, jumlah pengurangan karbon bersih akan berjumlah kira-kira 1.5 hingga dua juta tan setahun, iaitu kira-kira 4 peratus daripada jumlah pelepasan nasional Singapura.

Ong pada masa itu berkata, pertukaran daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman kepada kenderaan berkuasa bateri akan membawa kepada penjimatan karbon bersih sebanyak 50 peratus.

Ujarnya, sasaran itu boleh dilakukan walaupun tenaga elektrik yang digunakan untuk menggerakkan kenderaan elektrik dijana oleh bahan api fosil seperti gas asli. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram