[VIDEO] 'Masa sudah tamat' Presiden Ukraine kena pulau ketika sidang negara Eropah?


  • Benua
  • Isnin, 01 Jul 2024

Tangkap layar video memaparkan situasi janggal dihadapi Zelensky ketika menghadiri sidang kemuncak pemimpin Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis lalu di Brussels, Belgium.

SELEPAS memasuki hari ke-857, perang di Rusia-Ukraine masih tidak menunjukkan sebarang penyelesaian dengan kedua-dua pihak kini masih belum memasuki sebarang fasa rundingan.

Pada masa sama, kedua-dua negara terbabit dalam kancah peperangan terus melaksanakan aktiviti ketenteraan dengan berbalas serangan di kawasan bergolak tersebut.

Dalam perkembangan terbaharu, Ukraine kini dilaporkan berada di dalam tekanan selepas Rusia melancarkan serangan terhadap dua bandar besar negara tersebut iaitu Kyiv dan Kharkiv pada Ahad.

Menurut laporan Reuters, serangan terbabit yang dilakukan dengan menggunakan peluru berpandu itu diarahkan ke kawasan pinggir bandar Kyiv dan turut membunuh seorang rakyatnya di Kharkiv.

Pada waktu ini, tentera Rusia dilaporkan mengekalkan serangan berterusan mereka ke atas bandar-bandar Ukraine serta infrastruktur tenaga.

Perkembangan terbaharu di wilayah bergolak itu menyaksikan Ukraine kini semakin berdepan tekanan untuk mengekang kemaraan tentera Rusia.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dalam catatan di Telegram berkata, Rusia telah menggunakan lebih daripada 800 bom berpandu ke atas sasaran Ukraine pada minggu lalu.

photo1719841470 (1)

Zelensky (depan, kiri) ketika bergambar bersama pemimpin EU baru-baru ini. β€” Agensi

Beliau menerusi kenyataan yang dikongsikan menerusi satu video pada Ahad susulan serangan terbaharu itu turut menyatakan rayuan bantuan bagi akses terhadap sistem senjata yang lebih baik daripada negara sekutunya di seluruh dunia.

"Lebih cepat dunia membantu kita menangani pesawat tempur Rusia yang melancarkan bom ini, lebih cepat kita boleh menyerang - dengan wajar menyerang - infrastruktur ketenteraan Rusia...dan semakin hampir kita dengan keamanan," katanya.

Zelensky sebelum ini dilaporkan melakukan lawatan ke beberapa negara dikenali sebagai rakan sekutunya bagi memohon bantuan ketenteraan dan dana untuk menghadapi perang terbabit.

Bagaimanapun, usaha bagi memohon bantuan itu tidak hadir dengan mudah untuk Ukraine apabila beliau dilihat terpaksa terbuka berulang kali merayu kepada negara sekutunya bagi menghulurkan bantuan khususnya daripada segi alatan kelengkapan tentera.

Signals that it’s over ...

pic.twitter.com/cRhS6Msx20

β€” Lord Bebo (@MyLordBebo) July 1, 2024

Keadaan itu juga meletakkan Zelensky berada dalam keadaan sukar dengan kebanyakan negara termasuk Amerika Syarikat dan negara Eropah agak keberatan untuk menunaikan kesemua permintaan tersebut.

Terbaharu, pemimpin Ukraine itu dilihat berdepan dengan insiden janggal selepas beliau dilihat seakan-akan dipulaukan ketika menghadiri sidang kemuncak pemimpin Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis lalu di Brussels, Belgium.

Kejadian itu turut dirakam dalam video tular di media sosial.

Berdasarkan klip berkenaan, Zelensky dilihat berdiri berseorangan dengan beberapa pegawai sekitar juga seakan-akan tidak mengendahkan kehadirannya.

"Masa sudah tamat," tulis ciapan di laman X yang berkongsikan video berkenaan.

Dalam sidang kemuncak tersebut, Zelensky menandatangani satu pakatan keselamatan bersama EU.

Perjanjian antara EU dan Ukraine itu dirangka selepas beberapa bulan rundingan di kalangan 27 negara anggota EU bagi menyokong keselamatan jangka panjang negara terbabit.

Pakatan itu turut meliputi peningkatan kerjasama yang lebih erat antara industri pertahanan di Ukraine dan EU dan prosedur perundingan krisis EU-Ukraine.

Sekiranya Rusia menyerang Ukraine sekali lagi selepas pencerobohan semasa, atau menggunakan senjata nuklear semasa perang yang sedang berlangsung, EU dan Ukraine akan mengadakan rundingan kecemasan dalam masa 24 jam atas permintaan mana-mana pihak untuk membincangkan kemungkinan bantuan. β€” Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram