PEMANDU bas persiaran yang terbalik dalam kemalangan maut di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands, Bentong, Pahang pada Sabtu sudah ditahan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata, pemandu tersebut kini disiasat pihak berkuasa susulan kejadian yang meragut nyawa dua penumpang warga China.
"Kami sedih dengan kejadian itu dan akan memastikan siasatan menyeluruh dijalankan," katanya pada Ahad.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu bas terbabit nahas di Genting Sempah tiada lesen memandu, ada 27 rekod saman — Polis
BACA LAGI: [VIDEO] Percubaan kali kedua buahkan hasil, penduduk berjaya pindah rumah tradisional Desa Melor
Tiong berkata, berdasarkan siasatan awal, penumpang yang terselamat dalam nahas itu menyifatkan perjalanan mereka ke Genting Highlands penuh dengan masalah.
Beliau berkata, penumpang berada di kawasan itu atas tujuan melancong selama enam hari lima malam dan terpaksa menukar bas mereka sebanyak tiga kali.
"Saya juga menerima aduan daripada mangsa bahawa bas dinaiki tidak berapa sesuai dengan tiada penyaman udara dan berbunyi bising. Ini membuktikan bas tidak diselenggara dengan baik.
"Selain itu, kita dapati, agensi pelancongan terbabit telah memberi tugasan itu kepada orang lain dengan difahamkan mereka mempunyai subline (pihak ketiga).
"Jadi, kita akan tunggu laporan siasatan penuh. Kami tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen syarikat terbabit," katanya sambil memberitahu, lesen operasi syarikat pelancongan terbabit digantung sementara ketika ini.
Tambahnya, kementerian juga sedang menyiasat jika ada mana-mana agensi yang bermasalah terlibat dalam kejadian itu.
Beliau pada masa sama berkata, pihaknya akan bertemu dengan Kementerian Pengangkutan dan agensinya, Jabatan Pengangkutan Jalan pada 2 Julai nanti untuk membincangkan lebih lanjut berhubung peraturan, penyelenggaraan dan penguatkuasaan bas persiaran.
"Perlu ada prosedur operasi standard (SOP) untuk bas persiaran yang membawa pelancong.
"Sebahagian daripada tanggungjawab dan penguatkuasaan sepatutnya berada di pihak kementerian kita dan kita akan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut semasa mesyuarat itu," katanya.
Terdahulu, pemandu berusia 32 tahun itu juga didapati mempunyai 27 saman lampau yang melibatkan pelbagai jenis kesalahan.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, pada 10.30 malam, Sabtu.
“Pemandu bas sudah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini (Sabtu) sehingga Rabu,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, kemalangan yang dipercayai berlaku ketika bas membawa 21 penumpang termasuk pemandu itu dilaporkan dalam perjalanan turun dari Genting Highlands menuju ke Kuala Lumpur. — The Star/ALLISON LAI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram