[VIDEO] Peniaga jam mewah ditemukan tidak bernyawa kurang 24 jam lepas rugi RM16 juta akibat disamun


  • Benua
  • Rabu, 29 Mei 2024

Tangkap layar video rakaman CCTV memaparkan detik-detik Oliver dirompak ketika di premis kedai jualan jam tempatnya bekerja pada Sabtu lalu.

SEORANG peniaga jam tangan mewah di London, United Kingdom (UK) ditemukan meninggal dunia di kediamannya sehari selepas dia menjadi mangsa rompakan dua lelaki di kedai tempatnya bekerja sehingga menyebabkan kerugian mencecah 2.8 juta pound sterling (RM16.7 juta).

Insiden samun yang berlaku pada Sabtu lalu di kawasan Barat Daya London itu turut dirakam oleh kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Berdasarkan klip berdurasi satu minit 15 saat itu, mangsa, Oliver White, 27, pada awalnya dilihat sedang melayani dua pelanggan lelaki di kedai tersebut.

BACA LAGI: Penjimatan subsidi sahaja tidak cukup, perlu ada rombakan sistem percukaian — Pakar ekonomi

BACA LAGI: Malaysia tak cukup pakar pokok — PArM

Bagaimanapun, seorang daripada lelaki tersebut kemudiannya secara tiba-tiba bertindak agresif dengan mencekik lehernya dan terus memegangnya daripada bergerak.

Pada masa sama, rakan subahat lelaki terbabit dilihat bergerak di sekitar kedai berkenaan untuk mengambil jam yang berada di lokasi kejadian.

Rakan rapat kepada mangsa, dilaporkan berkata, susulan kejadian itu, Oliver atau dikenali dengan panggilan Olli difahamkan sangat tertekan dan bimbang khususnya melibatkan ganti rugi bagi jam yang telah dirompak itu.

WhatsApp Image 2024-05-29 at 10.29.00 AM

Dua suspek terlibat dalam rompakan tersebut.

"Dia sangat tertekan selepas rompakan itu dan bimbang terutamanya selepas mengetahui bahawa kecurian itu melibatkan jam tangan bernilai sekitar £2.8 juta (RM16.7 juta).

"Olli sangat ketakutan bahawa dia boleh kehilangan semua yang dimilikinya dan mereka mungkin mengambil rumah ibunya.

"Dia juga trauma dengan apa yang berlaku dan menjadi sangat takut tentang kesan rompakan ini terhadap masa depan kewangannya dan keluarganya. Dia tidak tahu apa yang akan berlaku," katanya menerusi laporan MailOnline.

Sementara itu, seorang lagi rakan mangsa memaklumkan Olli juga sangat bimbang mengenai jumlah perlindungan insurans yang disediakan ekoran insiden rompakan itu.

"Rompakan itu sangat memberikan kesan terhadapnya ditambah dengan ketidakpastian mengenai isu kewangan dan siapa yang akan bertanggungjawab. Dia tidak dapat melihat jalan keluar lain," ujarnya.

Olli dilaporkan tinggal bersama ibu bapanya di Shepperton.

Dia turut mempunyai seorang teman wanita yang dikenali sebagai Alana Dredge.

"Olli adalah anak lelaki yang baik. Malah dia dan Alana juga sudah memasang impian untuk membina kehidupan bersama tetapi tragisnya, rompakan ini telah menghilangkan semua ini," ujar salah seorang ahli keluarga mangsa.

WhatsApp Image 2024-05-29 at 10.29.26 AM

Oliver (kanan) dan teman wanitanya, Alana.

Jurucakap kedai tempat Oliver bekerja bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika dihubungi MailOnline berhubung kejadian tersebut.

Dalam pada itu, polis tempatan memberitahu mereka dimaklumkan mengenai kejadian melibatkan lelaki tersebut pada Ahad sekitar pukul 8.15 malam.

"Siasatan masih diteruskan, tetapi kematiannya tidak mempunyai sebarang petanda yang mencurigakan," ujar polis.

Dalam pada itu, polis sudah mengeluarkan imej dua suspek terlibat dalam kejadian rompakan berkenaan namun belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat Selasa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram