MISTERI sebuah bagasi berisi mayat wanita yang ditinggalkan dalam belukar di Jalan Kalimalang di Bekasi, Indonesia pada bulan lalu terungkai selepas pembunuhnya ditahan polis pada Selasa.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Rini Mariany, 50, pada mulanya dilaporkan hilang sehari sebelum mayatnya ditemui pada 25 April lalu.
Susulan daripada itu, polis giat mengesan suspek yang terlibat dalam pembunuhan kejam itu.
Media melaporkan, suspek yang dikenali sebagai Ahmad Arif Ridwan, 28, ditahan ketika sedang menyembunyikan diri di Seberang Ulu II, Palembang pada Rabu.
BACA LAGI: [VIDEO] YouTuber Indonesia sanggup buat konten, dedah ‘sisi gelap’ KL dipenuhi pengemis warga asing
Menurut Ketua Polis Metro Jaya, Ade Ary Syam Indradi berkata, suspek dan mangsa sempat berhubungan intim di sebuah hotel di Bandung.
"Suspek yang bekerja auditor kemudiannya membunuh mangsa dan turut mengambil wang berjumlah RM12,618 (43 juta Rupiah) milik mangsa.
"Duit itu sebenarnya milik syarikat mangsa dan ketika kejadian, Rini ingin memasukkan duit berkenaan ke bank selepas berjumpa dengan suspek," katanya pada Khamis.
Sementara itu, menurut media antarabangsa, Ahmad Arif memerlukan wang tersebut bagi perbelanjaan perkahwinannya yang bakal berlangsung pada bulan hadapan.
Tambah Ade, motif pembunuhan adalah disebabkan suspek memerlukan wang tersebut.
"Suspek kini sudah ditahan dan direman. Sekiranya didapati bersalah, Ahmad Arif berkemungkinan berdepan dengan hukuman mati," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram