[VIDEO] Tragedi tembok rumah mayat runtuh India, 4 maut termasuk budak perempuan 11 tahun


  • Benua
  • Ahad, 21 Apr 2024

Tangkap layar video memaparkan detik-detik keruntuhan tembok di pusat pengurusan mayat tersebut sehingga mengorbankan empat nyawa dalam kejadian di Madanpuri, Gurugram dekat Haryana, India, pada Sabtu. — Agensi

EMPAT individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas mereka ditimpa sebuah dinding yang runtuh secara tiba-tiba dalam kejadian di sebuah rumah mayat di Madanpuri, Gurugram dekat Haryana, India, pada Sabtu.

Insiden mengerikan yang berlaku sekitar pukul 6.30 petang itu turut tular selepas ia dirakam oleh kamera keselamatan di lokasi.

Menerusi klip berkenaan, beberapa individu dilihat sedang duduk di kerusi berdekatan sebuah tembok setinggi kira-kita tiga meter di pusat pengurusan mayat tersebut.

Bagaimanapun, tembok berkenaan secara tiba-tiba runtuh menyebabkan terdapat antara mereka tidak sempat menyelamatkan diri.

Selain kanak-kanak malang itu, tiga lagi yang maut dalam kejadian itu merupakan lelaki berusia antara 52 hingga 70 tahun sementara dua lagi mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital.

WhatsApp Image 2024-04-21 at 11.09.04 PM

Tangkap layar video memaparkan orang ramai segera membantu mengeluarkan mangsa yang berada di bawah runtuhan tersebut.

Berdasarkan laporan media tempatan, penduduk tempatan mendakwa dinding di pusat pembakaran pembakaran mayat terbabit merupakan tembok sementara yang hanya dibina dengan bahan lumpur.

Ia dipercayai runtuh kerana tidak dapat menampung kayu yang disusun pada bahagian atas.

Ekoran daripada kejadian itu, beberapa penduduk dilihat segera membantu mengeluarkan mangsa daripada bawah runtuhan dan membawa mereka mendapatkan rawatan di hospital.

Pada masa sama, jurucakap polis tempatan memaklumkan pihaknya sedang menyiasat insiden tersebut.

"Tindakan akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab atas kejadian itu," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram