[VIDEO] Puting beliung mengganas, musnahkan rumah bukan berlaku di Perak tapi Jawa Barat


  • Benua
  • Khamis, 22 Feb 2024

Tangkap layar video memaparkan serpihan bumbung rumah yang berterbangan di udara ketika puting beliung melanda di Jawa Barat, Indonesia pada Rabu.

KEJADIAN puting beliung dengan skala besar direkodkan berlaku di kawasan Jawa Barat, Indonesia pada Rabu.

Menurut pegawai kerajaan Indonesia, kejadian itu mencederakan sekurang-kurangnya 33 orang serta memusnahkan puluhan bangunan termasuk rumah penduduk.

Menerusi video tular sejak Khamis, puting beliung itu berlaku selepas angin kencang yang melanda bandar Sumedang di wilayah Jawa Barat.

BACA LAGI : Penduduk cemas puting beliung landa Tanjung Bidara

Dalam video tersebut, kelihatan juga serpihan bumbung rumah berterbangan di udara ketika kejadian itu.

Pada masa sama, penduduk ketika itu dilihat panik dan kedengaran suara jeritan ketika puting beliung melanda.

Pakar Klimatologi di Agensi Penyelidikan kerajaan BRIN, Erma Yulihastin dilaporkan berkata, pihaknya akan menubuhkan pasukan penyiasat insiden puting beliung itu.

Katanya, kejadian itu turut dikatakan sama dengan jenis ribut yang kerap berlaku di hemisfera utara.

Kesemua mangsa bagaimanapun dilaporkan cedera ringan dan tiada kematian direkodkan setakat ini.

BACA LAGI : Video lama belalai air P.Pinang 2017 kembali tular

rumahrosakbeliung_1708592870

Keadaan rumah yang rosak berikutan puting beliung di kampung Sukadana, Jawa Barat, Indonesia. — Agensi

Berdasarkan laporan media antarabangsa, salah seorang penduduk Sumedang, Kay Tiara meluahkan rasa takutnya ketika berdepan detik cemas itu.

"Ayah saya sedang duduk di rumah kami dan tiba-tiba dia ternampak plastik berterbangan dan berpusing. Tak lama selepas itu, angin kuat membadai rumah.

"Akibatnya, bumbung rumah saya diterbangkan. Saya dan keluarga berlindung di dalam rumah," katanya.

Timbalan Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Guswanto dilaporkan berkata, puting beliung boleh berlaku dalam tempoh yang singkat.

"Fenomena puting beliung secara amnya lebih kerap berlaku semasa peralihan musim dan tidak menolak kemungkinan ia turut berlaku ketika musim hujan," katanya.

Dalam pada itu di media sosial tempatan, ada warganet menyangka puting beliung itu berlaku di Ipoh, Perak rentetan waktu kejadian yang hampir sama pada awal 2022. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram