Dikait kembali ke Terengganu, orang kuat KDA FC sahkan status Nafuzi Zain bersama Hijau Kuning


  • Podium
  • Isnin, 11 Dis 2023

Nafuzi memberi 17 kemenangan dan dua keputusan seri untuk KDA FC daripada 25 perlawanan Liga Super musim ini. — Facebook/KDAFC

TIADA angin tiada ribut, namun nama Nafuzi Zain disebut-sebut akan kembali ke Terengganu FC (TFC) pada musim dan sekali gus bakal meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas hanya menabur bakti selama satu musim bersama skuad Hijau Kuning.

Khabar angin yang membuatkan penyokong KDA FC tidak senang duduk itu timbul apabila wartawan tanah air, T Avineshwaran, memuat naik ciapan yang memaklumkan bahawa barisan pengurusan Terengganu dalam usaha merisik Nafuzi untuk kembali ke kelab Pantai Timur berkenaan.

"Difahamkan Terengganu sedang dalam usaha untuk mendapatkan semula khidmat Nafuzi. Tetapi, dia difahamkan mahu kekal bersama KDA FC dan meneruskan usaha yang sedang dilakukannya," tulisnya.

Belum sampai sehari desas-desus tersebut menggembirakan sebahagian penyokong skuad Sang Penyu, kenyataan baharu pula muncul menyatakan sebaliknya dan mengesahkan bahawa pengendali berusia 45 tahun itu akan kekal mengemudi Kedah.

WhatsApp Image 2023-12-11 at 22.55.40

Tangkap layar ciapan dari Joe Rozi.

Perkembangan baharu berkenaan dimaklumkan oleh penyelaras kelab Utara tanah air berkenaan, Joe Rozi atau nama sebenarnya Zul Fadzli Roz menerusi laman platform X pada Isnin.

“100 peratus rumours. Tidak pernah bertentang mata pun. Nafuzi masih berbaki satu tahun kontrak bersama Kedah dan beliau komited untuk meneruskan projek pada musim depan. Malah, kami percaya bahawa coach Tomi (Tomislav Steinbruckner) patut teruskan mengendali Terengganu pada musim depan,” tulisnya pada Isnin.

Di bawah kendalian Nafuzi, skuad Sang Kenari yang mencatatkan 17 kemenangan dan dua keputusan seri daripada 25 perlawanan Liga Super sememangnya boleh berpuas hati dengan prestasi pasukan.

Meskipun tersingkir awal daripada Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup, penyokong skuad Hijau Kuning bagaimanapun optimis bahawa Nafuzi mampu menghasilkan sesuatu positif pada musim depan.

Sementara itu, Tomislav juga membuktikan sentuhannya bersama Terengganu apabila lolos ke peringkat akhir Piala Malaysia dan separuh akhir Piala FA dan kini masih menerukan perjuangan untuk Piala AFC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram